KERAJAAN Johor mungkin mempunyai majoriti satu kerusi, tetapi pilihan raya negeri diperlukan untuk memulihkan kestabilan, kata Menteri Besar Hasni Mohamed hari ini.
“Majoriti mudah untuk mentadbir Johor ialah 29 kerusi. Tetapi apabila kerusi Kempas dikosongkan, kerajaan kekurangan satu kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan,” kata Hasni semasa sidang media selepas menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hasni berkata, kerusi Kempas kosong tahun lepas apabila Adunnya iaitu bekas menteri besar Osman Sapian meninggal dunia dan kerajaan negeri telah mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya kecil.
Namun, keadaan banjir menjadikannya berbahaya, tambahnya.
“Seperti yang anda tahu, pada 18 Disember berlaku banjir besar di Selangor dan Pahang dan ramalannya seterusnya akan berlaku di Johor. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam mengadakan pilihan raya kecil ketika ini.
“Syukurlah, kami tidak berbuat demikian dan memang ada banjir pada 31 Disember,” kata Hasni yang juga Adun Benut.
Memandangkan banjir sudah berakhir dan pusat pemindahan ditutup, kerajaan negeri memutuskan bahawa adalah masa yang lebih selamat untuk mengadakan pilihan raya negeri.
“Kami merasakan adalah penting untuk memulihkan kerajaan Johor seperti sedia ada – dinamik, stabil dan sentiasa mengujakan dengan program baharu.
“Tetapi ini sukar dalam keadaan semasa di mana kerajaan tidak mempunyai majoriti mudah dan terpaksa bergantung kepada pembangkang.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk membubarkan dewan untuk mendapatkan mandat baharu melalui pilihan raya,” kata Hasni yang merupakan wakil rakyat Umno.
Terdahulu, Sultan Johor memperkenan pembubaran DUN untuk membolehkan pilihan raya baharu diadakan.
Baginda menandatangani watikah pembubaran tersebut selepas menerima menghadap Hasni di Istana Bukit Serene petang ini.
Perkenan itu diumumkan di laman rasmi baginda di Facebook. – 22 Januari, 2022.
Komen