Ismail Sabri lawat Dr Mahathir di IJN 


Elill Easwaran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat tiba di Institut Jantung Negara jam 530 petang dan beredar kira-kira jam 6 petang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat Dr Mahathir Mohamad yang dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) petang ini.

Ismail Sabri dilihat tiba jam 530 petang dan beredar kira-kira jam 6 petang.

Sekumpulan wartawan menunggu di luar IJN ketika berita bahawa Dr Mahathir berada di Unit Rawatan Koronari.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai keadaan bekas perdana menteri itu, namun sumber sebelum ini berkata beliau berada dalam keadaan stabil.

Ahli Parlimen Langkawi itu, 96, dimasukkan untuk prosedur perubatan elektif ke IJN pada 7 Januari, dan dibenarkan keluar pada 13 Januari.

Beliau dimasukkan untuk “pemeriksaan perubatan penuh dan pemerhatian lanjut” ke institut yang sama bulan lepas.

Perdana menteri dua kali itu mempunyai sejarah penyakit jantung, mengalami serangan jantung pertamanya ketika usia 64 tahun pada 1989.

Beliau mengalami dua lagi serangan jantung pada 2006, dan menjalani pintasan empat kali ganda.

Dr Mahathir dirawat kerana jangkitan dada pada November 2013, dan sekali lagi dimasukkan ke IJN dengan penyakit yang sama pada Ogos 2016.

Sementara itu, dalam ciapan di Twitter, Ismail Sabri turut memberitahu lawatannya ke atas Dr Mahathir, sambil menambah beliau juga bertemu dengan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Saya harap keluarga Dr Mahathir akan terus kekal kuat,” tweet perdana menteri itu. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen