Sultan Johor perkenan bubar DUN


Sultan Johor menandatangani watikah pembubaran tersebut selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohamed di Istana Bukit Serene petang ini. – Gambar Facebook, 22 Januari, 2022.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan pilihan raya baharu diadakan.

Baginda menandatangani watikah pembubaran tersebut selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohamed di Istana Bukit Serene petang ini.

Perkenan itu diumumkan di laman rasmi baginda di Facebook.

Menurut pengumuman itu, pertemuan tersebut turut dihadiri Tengku Mahkota Tunku Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani.

Terdahulu Hasni mengadakan pertemuan dengan ketua bahagian Umno Johor bagi membincangkan mengenai pembubaran berkenaan.

Desas-desus mengenai pilihan raya negeri itu mula dibangkitkan selepas kematian bekas menteri besar Osman Sapian yang juga Adun Kempas hujung tahun lalu.

Kematian itu menyebabkan kerajaan dipimpin Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional hanya menguasai satu kerusi majoriti berbanding Pakatan Harapan dalam DUN dengan 56 ahli itu.

Barisan Nasional menguasai 16 kerusi manakala Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing 12 dan 27 kerusi. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen