SEORANG lelaki Ireland yang enggan memakai pelitup mula dalam penerbangan dari Dublin ke New York dan berkelakukan tidak senonoh kepada anak kapal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit bersalah kerana jenayah serangan, kata Jabatan Kehakiman pada Jumaat.
Shane McInerney, 29, dari Galway, didakwa berkelakuan demikian dalam penerbangan Delta Airlines pada 7 Januari lalu.
Dia tampil di hadapan hakim di New York seminggu selepas itu dan didakwa “dengan sengaja menyerang dan menakut-nakutkan anak kapal”, menurut fail pendakwaan.
Menurut pendakwaan, dia berulang kali enggan memakai pelitup muka, melempar tin minuman kepada anak kapal yang mengenai kepala penumpang lain dan “membuka seluarnya dan menunjukkan kemaluan kepada anak kapal dan penumpang lain.”
Seorang jurucakap mahkamah berkata jika sabit bersalah, McInerney boleh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.
McInerney dalam perjalanan ke Florida untuk memulakan kerja baharu di sebuah akademi bola sepak.
Ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$20,000 sementara menunggu bicara.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Januari 2021 berkata ia menguatkuasa dasar tiada tolak ansur kepada sesiapa sahaja yang enggan mematuhi arahan wajib pemakaian pelitup muka dalam penerbangan domestik di AS.
Ia dilakukan selepas anak kapal melaporkan pertambahan kes serangan fizikal dan lisan daripada penumpang yang enggan memakai pelitup muka.
Sebuah penerbangan American Airlines dari Miami ke London terpaksa berpatah balik pada Khamis selepas seorang penumpang enggan memakai pelitup muka. – AFP, 22 Januari, 2022.
Komen