INDEKS harga pengguna Sri Lanka melonjak 14 peratus pada Disember, melepasi paras tertinggi berbanding sebelum ini iaitu 11.1, menurut angka rasmi pada Sabtu ketika krisis bekalan makanan dan bahan api semakin memuncak.
Para menteri kanan memberi amaran kepada Parlimen mengenai krisis makanan yang semakin meningkat dengan penuaian padi pada Mac dijangka menurun secara drastik selepas larangan import agrokimia tahun lepas menyaksikan petani terpaksa abaikan lebih 30 peratus tanah pertanian.
Ekonomi pulau yang bergantung kepada pelancongan itu telah terjejas oleh pandemik dengan kerajaan mengenakan sekatan import yang luas bagi mengelakkan krisis pertukaran asing, sekali gus mencetuskan kekurangan barang keperluan.
Jabatan Banci dan Perangkaan berkata inflasi tahun ke tahun pada Disember adalah yang tertinggi sejak Indeks Harga Pengguna Nasional (NCPI) ditubuhkan pada 2015.
Ia berkata inflasi makanan juga mencecah rekod 21.5 peratus, meningkat daripada 16.9 peratus pada November dan 7.5 peratus setahun lalu.
Penggunaan baja organik dan racun perosak telah mengurangkan hasil tanaman sayuran dan buah-buahan secara mendadak.
Selepas protes petani, kerajaan menarik balik larangan import agrokimia pada Oktober, namun bank masih kekurangan dolar untuk membiayai import.
Pasar raya telah mencatu susu tepung, gula, kacang dan barangan keperluan lain sejak beberapa bulan dengan amaran rasmi tertinggi bulan lalu mengenai lebih banyak sekatan untuk memberi makan kepada mereka yang paling memerlukan.
Bagaimanapun setiausaha kementerian pertanian Udith Jayasinghe telah dipecat beberapa jam selepas menggesa skim catuan rasmi bagi memastikan kaum ibu, warga emas dan orang sakit dapat diberi makan untuk beberapa bulan mendatang.
Rizab asing Sri Lanka telah merosot sejak Presiden Gotabaya Rajapaksa memegang jawatan pada 2019, daripada AS$7.5 bilion kepada AS$3.1 bilion pada akhir Disember. Angka semasa cukup untuk membiayai import kurang daripada dua bulan.
Agensi penarafan antarabangsa telah menurunkan taraf Sri Lanka kerana bimbang negara itu gagal bayar hutang asingnya yang berjumlah AS$35 bilion. Kerajaan bagaimanapun menegaskan ia boleh memenuhi kewajipan tersebut. – AFP, 22 Januari, 2022.
Komen