BAM gantung Lee Zii Jia 2 tahun 


Lee Zii Jia tidak akan dibenarkan bertanding dalam mana-mana kejohanan antarabangsa semasa penggantungannya.– Gambar EPA, 21 Januari, 2022.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bertindak menggantung pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia selama dua tahun selepas beliau membuat keputusan meninggalkan persatuan itu untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Menurut catatan Facebook Team Malaysia, Lee yang berusia 24 tahun tidak akan dibenarkan bertanding dalam mana-mana kejohanan antarabangsa semasa penggantungannya.

“BAM mengesahkan mereka mengambil keputusan untuk menggantung Lee Zii Jia selama 2 tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bermula 18 Januari 2022,” menurut catatan itu.

Penggantungan itu akan menjejaskan kerjaya Lee, yang merupakan pemain badminton utama Malaysia.

Juara All England 2021 itu, yang menduduki ranking ketujuh dunia, menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada badan induk badminton negara pada 11 Januari lalu.

Semalam Presiden BAM Mohamad Norza Zakaria berkata antara alasan yang diberikan oleh Lee ialah beliau berada di bawah tekanan yang luar biasa, dan beliau perlu mencapai matlamatnya dalam masa dan ruang sendiri.

Pada masa lalu BAM telah mengharamkan pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana berhenti sebelum waktunya, walaupun pemain itu menyertai semula pasukan kebangsaan sejurus selepas dimaafkan.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada BAM akan membuat pengecualian khas untuk Lee sementara menunggu rayuan.

Lee dijangka mengetuai Malaysia pada acara utama tahun ini, termasuk Piala Thomas di Bangkok, Sukan Komanwel di Birmingham, Sukan Asia di Hangzhou dan Sukan Sea di Vietnam.

Sementara itu, dalam sidang media yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, BAM berkata keputusan itu dibuat bagi menjaga kedudukannya sebagai sebuah institusi dan juga untuk kepentingan negara.

BAM juga menggantung bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei untuk dua tahun akan datang kerana meninggalkan pasukan kebangsaan secara pra-matang.– 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen