Cadangan Kabinet Hadi hina rakyat bukan Islam


Desmond Davidson

Ketua PKR Sarawak Baru Bian berkata cadangan Kabinet dua lapis Hadi itu satu penghinaan terhadap kebijaksanaan orang bukan Islam. – Gambar fail The Malaysian Inisght, 5 Februari, 2018.

CADANGAN Kabinet berbeza antara orang Islam dan bukan Islam oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang satu penghinaan terhadap kebijaksanaan orang bukan Islam di Malaysia, kata ketua PKR Sarawak Baru Bian.

“Terang lagi bersuluh yang sistem Kabinet dua lapis ini menunjukkan bukan Islam tak cerdik untuk bagi sumbangan membuat dasar yang baik untuk negara.

“Perkara ini tak masuk akal dan tak boleh diterima langsung oleh rakyat Malaysia yang berfikiran waras,” katanya yang juga Adun Ba Kelalan.

Kenyataannya itu sebagai respons terhadap kenyataan Hadi semalam yang berkata setiap kaum akan diberi peranan tersendiri dalam pentadbiran PAS jika parti Islam itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

“Sekiranya PAS memerintah, ia akan dibahagikan kepada dua – (satu) Kabinet yang memutuskan dasar nasional. Ia perlu terdiri dari orang yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.

“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata Hadi ketika berucap dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Kumpulan kedua pula adalah teknokrat sama ada dari Parlimen atau sektor swasta yang akan melaksanakan dasar kerajaan, kata Hadi.

Justeru Baru berkata, cadangan Hadi itu tidak kena tempat dalam negara demokratik seperti Malaysia kerana ia menanam benih ideologi keagamaan dalam Malaysia yang secara asasnya sekular.

“Maka ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi tanah air kita ini,” kata Baru.

Aktivis politik Peter John Jaban berkata, cadangan Hadi, jika dikenakan di Sarawak yang mana orang Islam hanyalah minoriti menunjukkan sifat intipati penjajah, yakni cuba memaksa kepercayaan minoriti terhadap golongan majoriti. – Gambar The Malaysian Inisght, 5 Februari, 2018.

Sementara itu, aktivis politik Peter John Jaban bersependapat dengan pandangan Baru sebelum menambah yang cadangan Hadi itu melawan arus sedia ada dalam negara yang rencam budaya ini, terutamanya di Sarawak di mana populasi orang Islam hanyalah 25% sahaja.

“Pandangan keagamaan Hadi-lah yang membuatkan rakyat Malaysia menyampah dengan politik berasaskan kaum ini.

“Ia menyekat perkembangan negara.

“Malaysia negara silang budaya dan wajib bergerak menuju ke arah sistem kerajaan yang tidak berpandukan agama ataupun kaum,” kata Jaban.

Malah, kata Jaban, cadangan Hadi itu hanya akan “meluaskan lagi jurang.”

“Dah tentu, yang paling penting sekali kemampuan untuk bekerja dengan baik.

“Cadangan Hadi sangat bertentangan dengan meritokrasi moden.

“Dalam konteks Sarawak, pemikiran sebegini sangat tak boleh diterima pakai sebab orang Islam hanya merangkumi 25% populasi sahaja di sini.”

Jaban yang juga aktivis Sarak for Sarawakians berkata, dalam konteks di Sarawak, apa yang Hadi cuba lakukan ialah untuk memaksa dan melaksanakan budaya dan adat golongan minoriti terhadap golongan majoriti.

“Inilah intipati sifat penjajah.

“Jika inilah matlamat Hadi, jadi saya harap semua rakyat Sarawak dapat menggunakan kekuatan mengundi mereka untuk menunjukkan pada PAS dan parti lain yang bersubahat dengan mereka bahawasanya Sarawak adalah negeri yang mempunyai keharmonian dan kesaksamaan kaum dan agama. Sesuai untuk zaman ini.

“Sebab ini jugalah sesetengah rakyat Sarawak tidak berapa gemar dengan Malaysia,” kata Jaban. – 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hadi is one selfish to the core, with a personal agenda and has no understanding of the reality of the multiracial fabric of Malaysia. He is bent on changing the Constitution in favor of his narrow minded ideology, exactly the same ideology that brings turmoil to the Middle East.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan