Seorang maut, 20 cedera letupan bom kereta Colombia


Tentera Colombia menyalahkan kumpulan gerila FARC yang menolak perjanjian damai 2016 sebagai bertanggungjawab terhadap serangan bom kereta yang meragut satu nyawa dan mencederakan 20 orang pada Khamis. – Gambar AFP, 21 Januari, 2022.

BOM kereta meletup di Colombia di luar pejabat kerajaan dan badan hak asasi manusia, membunuh seorang dan mencederakan 20 berhampiran sempadan Venezuela, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Tentera dalam satu kenyataan menyalahkan serangan larut malam di Saravena, kawasan yang mempunyai kehadiran tentera yang kuat, terhadap penentang kumpulan gerila FARC yang menolak perjanjian damai 2016.

Menteri Pertahanan Diego Molano berkata serangan itu “dirancang dan dibiayai dari Venezuela.”

“Bahan letupan yang digunakan dalam tindakan pengganas ini dibawa masuk ke Colombia dari Venezuela,” kata Molano.

Letupan itu membunuh seorang pengawal keselamatan dan mencederakan 20 orang yang lain. Tiada maklumat lanjut diberikan tentang mereka.

Letupan itu turut merosakkan bangunan persendirian, kata kenyataan tentera.

Jose Luis Lazo, seorang pegawai yang menjaga hak asasi manusia di Saravana, memberitahu W Radio seorang pembangkang yang bernama Antonio Medina telah mengarahkan serangan itu dalam mesej WhatsApp.

Presiden Colombia Ivan Duque sering menuduh negara jiran Venezuela melindungi pemberontak di wilayahnya.

Kedua-dua negara tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak sejurus selepas Duque memegang jawatan pada 2018.

Wilayah di mana serangan itu berlaku adalah antara yang paling teruk dilanda gelombang keganasan selepas pakatan damai 2016 yang melucutkan senjata FARC dan secara rasmi menamatkan konflik selama beberapa dekad.

Walaupun perjanjian itu disepakati, namun pertempuran berterusan.

Awal bulan ini, hampir 30 orang terbunuh dalam pertempuran di timur laut jabatan Arauca, di mana Saravena terletak, dan ratusan melarikan diri dari wilayah itu, menurut data rasmi.

Kerajaan sejak itu telah mengerahkan 1,300 askar tambahan untuk menyertai 5,600 yang sudah beroperasi di kawasan itu.

Pusat kajian bebas, Indepaz, berkata ELN mempunyai kira-kira 2,500 pejuang manakala penentang FARC terdiri daripada kira-kira 5,200 ahli. – AFP, 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen