IS serang penjara Syria, bebaskan pemberontak, kata pemantau


Foto yang diambil pada 2019 menunjukkan tahanan disyaki kumpulan Negara Islam (IS) di sel penjara di bandar al-Hasaka di timur laut Syria. Kumpulan IS menyerang penjara yang dikendalikan Kurdish itu sebelum membebaskan rakan pemberontak mereka. – Gambar AFP, 21 Januari, 2022.

KUMPULAN Negara Islam (IS) menyerang penjara yang dikendalikan Kurdish di timur laut Syria pada Khamis sebelum membebaskan rakan pemberontak mereka, lapor pemantau perang tanpa menyatakan berapa ramai yang melarikan diri.

Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin Kurdish mengesahkan serangan itu dalam satu kenyataan namun tidak menyebut tahanan mana yang melarikan diri.

Menurut Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di Britain, sebuah bom kereta diletupkan di pintu masuk penjara Ghwayran manakala letupan kedua berlaku di kawasan berhampiran sebelum pemberontak IS menyerang pasukan keselamatan Kurdish yang mengawal kemudahan itu.

“Sebahagian banduan berjaya melarikan diri,” kata badan pemantau yang bergantung pada rangkaian sumber di dalam Syria. Ia tidak menyatakan bagaimana mereka berjaya keluar.

Ghwayran merupakan salah satu kemudahan terbesar menempatkan pemberontak IS di wilayah separa autonomi yang dikawal oleh pihak berkuasa Kurdish di timur laut Syria, kata ketua pemantau Rami Abdul Rahman kepada AFP.

“Pemberontakan baharu dan cubaan melarikan diri oleh pengganas Daesh yang ditahan di penjara Ghwayran di al-Hasaka sempena letupan bom kereta,” kata kenyataan Pasukan Demokratik Syria, menggunakan akronim bahasa Arab untuk IS.

Ia menyalahkan serangan ke atas “Daesh yang menyusup dari kawasan kejiranan dan bertempur dengan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri.”

Pasukan pemantau berkata, SDF telah menghantar bantuan ke penjara dan mengepung kawasan itu.

Pesawat milik gabungan antarabangsa diketuai Amerika Syarikat yang memerangi IS berlegar di atas kemudahan itu dan menjatuhkan suar di sekitarnya, tambah pemantau itu. – AFP, 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen