Perancis longgar peraturan Covid-19 mulai Februari


Perdana Menteri Perancis Jean Castex berkata bermula Februari bekerja dari rumah juga tidak lagi wajib bagi pekerja yang layak, dan pelitup muka tidak diperlukan di luar. – Gambar EPA, 21 Januari, 2022.

PERANCIS akan menarik semula sekatan Covid-19 mulai 2 Februari di ketika penularan varian Omicron dilaporkan mula surut, kata Perdana Menteri Jean Castex pada Khamis.

Walaupun pihak berkuasa mencatatkan rekod 464,769 kes harian baharu pada Selasa, Castex berkata pelaksanaan “pas vaksin” bermula Isnin untuk memasuki restoran, pawagam dan tempat awam lain akan membolehkan pelonggaran peraturan lebih ketat yang dikenakan sejak Disember.

Dalam langkah pertama, had kapasiti penonton untuk dewan konsert, perlawanan sukan dan acara lain akan ditamatkan mulai 2 Februari.

Bekerja dari rumah juga tidak lagi wajib bagi pekerja yang layak, dan pelitup muka tidak diperlukan di luar, Castex memberitahu sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan Olivier Veran.

“Kami lebih yakin dengan mengatakan yang kita boleh longgarkan beberapa kekangan ini dan biarkan orang ramai kembali hidup seperti biasa,” kata Veran.

Sebelum ini, pas kesihatan juga boleh diperoleh dengan ujian Covid negatif, kemungkinan kerajaan menamatkan usahanya untuk meyakinkan lebih ramai orang untuk mendapatkan suntikan Covid—Castex berkata 93 peratus orang dewasa Perancis kini sudah sekurang-kurangnya menerima satu dos.

“Sejak pengumuman pas vaksin, satu juta rakyat Perancis telah mendapat vaksin. Itu bagus, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya menambah suntikan penggalak akan dilanjutkan kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun mulai Isnin.

Pada peringkat kedua, kelab malam yang telah ditutup sejak Disember akan dibenarkan dibuka semula pada 16 Februari, dan kawasan berdiri sekali lagi akan dibenarkan untuk konsert dan acara sukan serta bar.

Makan dan minum akan dibenarkan sekali lagi di stadium, panggung wayang dan pengangkutan awam pada tarikh tersebut.

Castex juga berkata beliau berharap dapat melonggarkan peraturan pelitup muka untuk kanak-kanak di sekolah selepas cuti musim sejuk pada akhir Februari. – AFP, 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen