Serangan siber ICRC, 515,000 data peribadi terjejas


Pelayan komputer pengendali maklumat milik Jawatankuasa ICRC diserang, menjejaskan data peribadi lebih 515,000 orang. – Gambar fail EPA, 20 Januari, 2022.

SERANGAN siber ke atas pelayan komputer pengendali maklumat milik Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menjejaskan data peribadi lebih 515,000 orang, kata ICRC dalam satu kenyataan.

“Serangan siber yang canggih terhadap pelayan komputer milik ICRC dikesan minggu ini,” kata ICRC, menurut Sputnik.

“Serangan itu menjejaskan data peribadi dan maklumat sulit lebih 515,000 orang, termasuk mereka yang terpisah daripada keluarga akibat konflik, penghijrahan dan bencana, senarai orang hilang, serta mereka dalam tahanan.

Data itu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 60 Persatuan Kebangsaan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di seluruh dunia, menurut kenyataan itu.

ICRC berkata kebimbangan akibat daripada serangan itu termasuk risiko pendedahan maklumat sulit terhadap golongan yang harus dilindungi pihaknya.

“Serangan ke atas data orang hilang akan mengakibatkan kesengsaraan dan penderitaan keluarga lebih sukar ditanggung.

Serangan siber ini menjadikan ramai mangsa terdedah, mereka yang memerlukan bantuan kemanusiaan, lebih berisiko,” kata ketua pengarah ICRC Robert Mardini.

Agensi dengan ibu pejabat di Geneva itu tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai dalang di sebalik serangan itu.

“Masih tiada sebarang petunjuk bahawa maklumat yang digodam itu dibocorkan atau dikongsi secara terbuka,” kata ICRC. – Bernama, 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen