PLUS perlu laksana Pay Direct sebelum perkenal RFID


ISU pembayaran tol menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di rangkaian plaza tol kendalian Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lalu menjadi bualan utama warga maya negara di media sosial.

Mana tidaknya, rata-rata pengguna lebuh raya di Lembah Klang terutamanya menggeluh kerana terpaksa berdepan kesesakan luar biasa di plaza tol akibat kegagalan RFID berfungsi dengan baik pada hari pertama ia beroperasi.

Kemarahan pengguna ada asasnya, kerana terdapat banyak kenderaan didapati terpaksa mengundur kerana terkandas di depan palang tol berikutan kegagalan pembaca mengesan identifikasi pada pelekat yang dipasang pada bahagian depan kenderaan.

Tinjauan penulis terhadap keberkesanan pembayaran menggunakan sistem RFID di Plaza Tol Ebor, Shah Alam dan Plaza Tol Putrajaya adalah kurang memuaskan dan perlu ditambah baik oleh pengendali lebuh raya terbesar negara ini.

“Ketika saya sedang memandu masuk ke lorong RFID di Plaza Tol Ebor, terdapat sebuah kereta gagal dalam cubaan menggunakan sistem pembayaran elektronik ini sekali gus menyebabkan saya dan beberapa pemandu lain terpaksa menunggu beberapa minit sebelum kenderaan di depan mengundur dan menukar lorong pembayaran.

Dalam insiden ini penulis berjaya melepasi cubaan pertama menggunakan sistem RFID di tol susur masuk ke Lebuh Raya Elite tanpa berdepan sebarang masalah. 

Perjalanan diteruskan hingga ke Plaza Tol Putrajaya, namun penulis terpaksa menempuh saat mencemaskan apabila palang tol lambat dibuka sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kecekapan sistem yang digunakan.

Ketika itu tiada sebarang kenderaan menyusur masuk ke lorong RFID, malah kebanyakannya masih menggunakan pembayaran menggunakan kad TnG atau SmartTAG. Hanya kenderaan penulis saja yang menyusuri lorong RFID. 

“Ketika itu saya hanya memandu pada kelajuan 30km/j. Bagaimanapun, saya dikejutkan apabila palang di plaza tol itu tidak dibuka biarpun kenderaan sudah menghampiri rapat ‘pintu-penghadang’ tol berkenaan. Saya hampir melanggar palang tersebut, mujur ia berfungsi dengan baik.

Pay Direct sokong sistem transaksi elektronik

Menurut laporan Bernama, sistem pembayaran elektronik ini membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

Ia mula diperkenalkan secara meluas di hampir semua lebuh raya di Lembah Klang seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Grand Saga, Lebuh raya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuh Raya Kajang Silk.

Semua lebuh raya ini menggunakan sistem tol terbuka di mana caj yang dikenakan ke atas pengguna adalah tetap untuk setiap plaza tol. Malah, kesemua lebuh raya yang menggunakan sistem terbuka ini turut dilengkapi pembayaran secara Pay Direct melalui e-dompet TnG.

Kelebihan penggunaan sistem Pay Direct ini adalah, pengguna bebas untuk menambah nilai e-dompet yang disepadukan dengan kad TnG. Menerusi kaedah ini pengguna mempunyai pelbagai pilihan pembayaran sama ada TnG dan SmartTAG.

Sebelum ini, sistem Pay Direct hanya diperkenalkan di semua lebuh raya sistem terbuka saja dan ia baru saja diperkenalkan kepada pengguna lebuh raya sistem tertutup iaitu SKVE.

Di Malaysia, selain SKVE, lebuh raya Kajang-Seremban (Lekas) dan rangkaian lebuh raya PLUS seperti Elite dan NKVE menggunakan sistem tol tertutup. Caj yang dikenakan ke tas pengguna lebuh raya itu adalah berdasarkan masa dan jarak perjalanan.

Apa yang berlaku di lebuh raya kendalian PLUS berbeza dengan lebuh raya lain yang dilengkapi sistem RFID. Mereka tidak melaksanakan sistem pembayaran secara Pay Direct terlebih dahulu bagi menyokong pengoperasian penuh RFID.

Sementara itu, Ketua Eksekutif FavorIOT, Dr Mazlan Abbas berpendapat antara faktor penyumbang kepada kegagalan sistem pembayaran elektronik ini disebabkan pemasangan kendiri, kelajuan kereta, lokasi pembaca dan ujian semasa pelancaran secara rasmi.

Dr Mazlan berkata, PLUS sepatutnya meneruskan promosi untuk membolehkan pengguna lebuh raya datang membuat pemasangan di pusat perkhidmatannya bagi memastikan pelekat RFID itu dipasang mengikut piawaian.

“Di awal penggunaan pemasangan RFID, PLUS cuba membuat promosi untuk orang ramai datang membuat pemasangan di pusat khidmat. Dengan cara itu, mereka boleh membuat ujian yang memberi maklum balas lokasi yang sesuai untuk diletakkan RFID Tag. 

“Malangnya, apabila ia dijual secara dalam talian, dan dipasang sendiri oleh pengguna, kemungkinan pemasangan itu tidak mengikut piawaian yang sepatutnya. Ini menyebabkan isyarat RFID sukar dikesan,” kata pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi menerusi video ringkas di Facebooknya.

Apa pun, PLUS sepatutnya memulakan kaedah pembayaran tol secara Pay Direct terlebih dahulu seperti dilakukan di SKVE bagi menyokong kaedah pembayaran menggunakan RFID, TnG dan SmartTAG selain menambah lebih banyak lorong tol hibrid melibatkan dua jenis sistem serentak. – 20 Januari, 2020.

* Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, Teknologist Profesional Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen