PENERBANGAN kemanusiaan pertama berlepas ke Tonga pada awal Khamis, membawa bekalan bantuan yang sangat diperlukan ke negara kepulauan Pasifik yang dilanda tsunami dan gunung berapi itu.
“Sebuah C17 Globemaster bertolak dari Pangkalan Lapangan Terbang Amberley sekitar jam 7 pagi hari ini (2000 GMT),” kata seorang pegawai pertahanan Australia kepada AFP.
Penerbangan bantuan Australia kedua dijangka berlepas petang Khamis.
New Zealand mengesahkan C-130 Hercules miliknya turut dalam perjalanan, selepas beberapa hari tertunda.
Penerbangan itu akan membawa bekalan kemanusiaan dan peralatan telekomunikasi.
Berita dari Tonga sangat terhad sejak bencana hujung minggu, yang merosakkan kabel komunikasi dasar laut.
Sementara itu, penduduk Tonga bekerja keras membersihkan abu gunung berapi tebal dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Fua’amotu.
Kapal bantuan tentera Australia HMAS Adelaide juga sedang menunggu di Brisbane.
Canberra berharap kapal itu akan berlepas ke kerajaan pulau itu pada Jumaat, kata pegawai.
Kapal itu akan membawa “peralatan pembersihan air dan bekalan kemanusiaan tambahan,” kata Perdana Menteri Scott Morrison pada Rabu.
Dua helikopter Chinook juga dimuatkan ke atas kapal itu sebelum berlepas. – AFP, 20 Januari, 2022.
Komen