Tangani pukat pari demi penyu Terengganu, kata aktivis


Diyana Ibrahim

penemuan lima bangkai penyu dalam tempoh dua minggu merupakan bukti jelas kelemahan pemantauan jabatan perikanan. – Gambar AFP, 21 Januari, 2022.

TINDAKAN lebih tegas perlu diambil segera ke atas penggunaan pukat pari dan pukat tunda yang menjadi punca utama kematian penyu di Terengganu, kata aktivis alam sekitar Rani Ahmad.

Pengasas Kapas Society Club itu memberitahu The Malaysian Insight, penemuan lima bangkai penyu dalam tempoh dua minggu merupakan bukti jelas kelemahan pemantauan jabatan perikanan.

“Penyu mati kerana pukat tunda atau pukat pari ini bukan perkara baharu kita sudah lama tahu ia merupakan punca utama kematian penyu di negeri ini.

“Saya boleh kata ini kelemahan penguatkuasaan tidak kiralah di pantai timur, pantai barat mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai penguatkuasaa.

“Sedangkan undang-undang itu ada. Jika benar mereka lakukan pemantauan dan tegas mencegah insiden ini sudah pasti tidak akan berlaku,” katanya.

Aktivis itu juga percaya insiden kematian penyu secara berturut-berturut yang dilaporkan berlaku kerana aktiviti agresif nelayan memandangkan keadaan laut tenang pada waktu ini.

“(Walaupun masih) musim tengkujuh tapi dua minggu ini kita lihat laut tenang jadi para nelayan bergerak dengan maksimum, tambah pula sekarang musim udang memang aktiviti itu agresif.

“Sebab itu kita kalau kita tengok kes penyu terdampar dalam dua minggu ini kawasan yang tumpuan nelayan seperti Batu Rakit, Seberang Takir.

“Tapi di Pulau Kapas belum ada kes lagi pada tahun ini,” katanya ketika ditemui.

Lima ekor penyu yang ditemui mati di pesisiran pantai Terengganu sejak dua minggu lalu dari spesis kerah.

Menurut jabatan perikanan negeri, kebanyakan penyu yang ditemui mati itu dipercayai lemas akibat terperangkap dalam pukat tunda selain kes tertelan plastik.

Pukat tunda atau turut digelar pukat pari yang diharamkan itu terdiri merupakan pukat hanyut yang digunakan oleh nelayan dengan saiz mata pukat melebihi 10 sentimeter .

Pengunaannya dilarang mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 Para 2 Jadual 4 di bawah Akta Perikanan 1985 (AP85).

Rani berkata, kebimbangan mengenai perkara itu sudahpun dibangkitkan berulang kali agar pihak berkuasa supaya lebih tegas dalam pemantauan untuk melindungi haiwan itu.

Tambahnya, sejak menjalankan kerja pemuliharaan pada 1999, beliau menemui lebih 10 ekor penyu mati tersangkut pukat pari.

Ia banyak digunakan nelayan tempatan yang menangkap ikan di pesisiran pantai negeri dan beliau menolak dakwaan pukat tunda atau pukat pari itu ditahan oleh nelayan asing.

“Mereka ini kerja nak senang, tebar saja pukat dan biarkan biasa dalam tempoh 12 jam atau lebih dari itu.

“Mereka bukan tidak tahu bila mereka guna pukat, penyu akan terperangkap. Penyu hanya boleh bertahan dua jam saja dalam air, jika tidak ke permukaan ia akan lemas,” katanya.

Sementara itu pengarah jabatan perikanan negeri, Ruzaidi Mamat menjangkakan akan berlaku lebih banyak kes kematian penyu ekoran peningkatan kes yang drastik awal tahun ini.

“Kalau kita lihat biasanya kes kematian penyu ini memang setiap tahun meningkat. Itu trendnya kerana musim ini adalah musim mencari udang.

“Tapi dengan peningkatan drastik dalam tempoh 14 hari dalam awal tahun ini jadi kita jangka akan ada lagi kes kematian penyu berlaku,” katanya.

Ruzaidi berkata, jabatannya selalu menggesa nelayan untuk mematuhi peraturan untuk memasang peralatan peranti penyisih penyu yang dipanggil TED bagi menyelamatkan haiwan itu.

Beliau mempertahankan bahawa jabatan itu konsisten melakukan pemantauan menerusi unit penguatkuasaan.

Bagaimanapun Ruzaidi tidak dapat mengemukakan data menyeluruh berkenaan operasi pemantauan yang dibuat serta jumlah tangkapan.

“Kita tak pernah berhenti. Pemantauan kita berterusan dan kita ada mengenakan denda kepada nelayan yang didapati melanggar peraturan.

“Ada satu kes tangkapan yang kita buat pada tahun lepas di Besut,” katanya.

Beliau berkata denda atau kompaun tidak lebih RM20,000 dan penjara boleh dikenakan kepada nelayan yang didapati melanggar peraturan tersebut. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen