SEORANG warga Haiti yang dikehendaki dalam siasatan kes pembunuhan presiden Jovenel Moise telah ditahan di Miami pada Rabu selepas diekstradisi dari Republik Dominica, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Rodolphe Jaar menjadi individu kedua yang akan dibicarakan di AS berkait pembunuhan Moise pada Julai tahun lalu. Sebelum itu, seorang bekas anggota tentera Colombia dibicarakan pada 4 Januari lalu atas dakwaan sama.
Jaar melarikan diri dari Haiti selepas Moise dibunuh di kediaman rasmi presiden itu dan ditahan di Republik Dominica pada 7 Januari, enam bulan selepas kejadian.
Pegawai DoJ berkata Jaar akan didakwa di mahkamah pada Khamis. Jabatan itu bagaimanapun tidak menyatakan mengapa Jaar didakwa di AS, bukan di Haiti.
Menurut laporan Miami Herald, Jaar yang juga ahli perniagaan, pernah dipenjarakan di AS sepuluh tahun lalu atas kesalahan mengedar dadah.
Jumaat minggu lepas, polis Jamaica menahan bekas senator Haiti Jean Joel Joseph, juga dikehendaki berkait pembunuhan Moise. – AFP, 20 Januari, 2022.
Komen