Ho Chi Minh pelawa pelabur swasta biaya projek pembaharuan kawasan terusan


Pemandangan Bandaraya Ho Chi Minh dari seberang sungai Saigon. – Gambar AFP, 5 Februari, 2018.

BANDARAYA Ho Chi Minh sedang mencari pelabur swasta bagi membiayai pembangunan bandar, terutama penempatan semula 20,000 isi rumah yang tinggal di sepanjang terusan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Bercakap pada Persidangan Panggilan Terbuka Untuk Pelaburan dalam Projek Rehabilitasi di Kawasan Terusan dan Pembaharuan Bandar minggu lepas, Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Ho Chi Minh, Tran Vinh Tuyen, berkata matlamat pembangunan itu ialah untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat serta membina sebuah bandar yang moden dan bertamadun.

“Sepanjang 20 tahun lepas, satu program untuk memindahkan mereka yang tinggal di sepanjang terusan telah menyaksikan sejumlah 36,000 isi rumah terlibat namun hasilnya tidak seperti yang dijangka dan lebih 20,000 isi rumah tidak dapat ditempatkan semula.”

Tuyen berkata pembangunan bandar yang dilaksanakan adalah tidak mencukupi selain mengelirukan dari segi pengurusan.

“Situasi pencemaran dan banjir kekal buruk sehingga menjejaskan kesihatan serta kehidupan orang ramai. Selain itu, perkhidmatan awam tidak disediakan untuk semua orang.

“Untuk memperbaiki keadaan, menjelang 2020, bandaraya ini menyasarkan untuk menyiapkan penempatan semula kesemua 20,000 isi rumah terbabit dan pembangunan kawasan sekitar terusan selepas ia ditinggalkan.

“Bandaraya ini sedang memberi tumpuan kepada mekanisme dan polisi bagi menarik pelabur menerusi perkongsian awam swasta (PPP) dan penggunaan dana secara efisien untuk projek pembaharuan bandar,” kata Tuyen.

Bagi projek dalam kumpulan pertama, pihak berkuasa secara langsung akan melaksanakan pemindahan, pembersihan, penempatan semula dan pembinaan infrastruktur teknikal selepas kawasan itu dikenal pasti mempunyai terusan kecil tanpa tanah yang mempunyai nilai komersial.

Terdapat 52 projek membabitkan pemindahan sejumlah 14,437 isi rumah dan pembayaran pampasan dianggar berjumlah kira-kira 22.85 trilion dong Vietnam (lebih AS$1 bilion).

Kumpulan kedua membabitkan tiga terusan serta memerlukan pemindahan sejumlah 1,801 isi rumah manakala pampasan yang perlu dibayar berjumlah 2.7 trilion dong Vietnam (AS$120 juta).

Pemindahan dan penempatan semula itu akan dibiayai oleh perusahaan-perusahaan.

Kumpulan terakhir membabitkan enam projek yang perlu memindahkan sejumlah 6,223 isi rumah dan pampasan yang dibayar berjumlah 19 trilion dong Vietnam (AS$844 juta).

Pelan itu membabitkan peluasan terusan di kedua-dua tebing dan memulihkan kawasan sekitarnya bagi mewujudkan lot-lot tanah untuk diserah kepada pelabur sebagai balasan untuk membangunkan perumahan bagi penempatan semula.

Bandaraya Ho Chi Minh telah menganjurkan persidangan itu untuk mengetengahkan projek berkenaan dan mempelawa pelabur swasta mengambil bahagian dalam pembangunan bandar tersebut. 

Mereka boleh memilih sama ada menerima tanah di sepanjang terusan itu atau melabur dalam projek pembinaan dan pemindahan. – Bernama, 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen