LIM Kit Siang menjelaskan beliau hanya membuka pelitup muka untuk sesi bergambar pada majlis pelancaran bukunya minggu lalu, yang kini dalam siasatan pihak polis.
Beliau menjelaskan perkara itu kepada pihak polis semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk memberi keterangannya.
“Sepanjang majlis itu berlangsung, saya dan hadirin lain memakai pelitup muka.
“Hanya beberapa minit saya buka pelitup muka, itu pun atas permintaan jurugambar,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangannya.
Polis memulakan siasatan ke atas Lim dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pelancaran buku biografi Lim bertajuk “Lim Kit Siang: Malaysian First”, 11 Januari lalu.
Siasatan dibuat selepas gambar mereka bersama pengarang buku Kee Thuan Chye pada majlis itu tular di media sosial.
“Polis akan siasat perkara itu bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya. – 19 Januari, 2022.
Komen