8 lagi ditahan disyaki terlibat jual beli sijil vaksin palsu


POLIS menyerbu sebuah lagi klinik swasta yang dipercayai menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu, kali ini di Johor Bahru, dan menahan lapan orang untuk membantu siasatan, lapor Bernama.

Klinik swasta di Johor Bahru ini dipercayai yang keempat diserbu polis di empat negeri dalam tempoh tidak sampai dua minggu sejak kes pertama dikesan di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu pada 8 Januari.

Lapan yang ditahan di Johor Bahru pada Isnin dan Selasa adalah tiga pekerja klinik swasta dan lima pelanggan yang membeli sijil vaksin palsu dari klinik berkenaan, kata Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat.

“Polis turut merampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan.

“Polis juga merampas peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

“Kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.

Sijil palsu itu dijual antara RM300 hingga RM650 dan dikeluarkan kepada pembeli tanpa mereka dicucuk dengan vaksin Covid-19, tambahnya.

Kamarul Zaman juga berkata pihaknya sedang memburu 30 individu yang telah membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan termasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang.

“Kegiatan penjualan sijil digital vaksin Covid-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin,” katanya.

Beliau memohon mereka yang terlibat supaya menyerah diri untuk membantu siasatan.

Polis sebelum ini menahan sekurang-kurangnya 11 orang termasuk beberapa pemilik klinik dan doktor di dua klinik berasingan di Gombak, Selangor dan di Kota Bharu, Kelantan.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihak polis setakat ini menerima laporan kegiatan jual beli sijil palsu vaksin Covid-19 di empat negeri iaitu Terengganu, Selangor, Kelantan, dan Johor.

Semua kes disiasat atas kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Polis juga dilapor meneliti kesalahan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu berkaitan dengan maklumat palsu.– 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen