Adakah SC lindung Azam Baki, soal Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan adakah SC melindungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam siasatan kes pemilikan saham korporat. – Gambar EPA, 19 Januari, 2022.

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) perlu jelaskan adakah ia melindungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki apabila mengumumkan keputusan siasatan yang tidak dapat merumuskan berlaku pelanggaran undang-undang, kata Lim Guan Eng.

Pemimpin DAP itu mengulas kenyataan SC semalam ia tidak dapat merumuskan sama ada Azam melanggar kesalahan Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) ketika membenarkan adiknya Nasir menggunakan akaunnya.

Seksye 25 menetapkan sesebuah akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

“Adakah berbaloi untuk SC mengambil risiko menjejaskan reputasinya dan keyakinan pelabur dalam pasaran modal Malaysia, hanya untuk melindungi seorang individu,” kata Lim.

“Ada laporan mengatakan SC tidak bertindak kerana Azam sebenarnya menipu ketika mendakwa adiknya menjalankan perdagangan saham proksi menerusi akaun Azam.

“Jika itu keadaannya, maka SC perlu menyatakan dengan jelas yang Azam melakukan transaksi saham sendiri, bukannya mengeluarkan kenyataan yang nampak seperti SC melindungi Azam dan melepaskannya daripada sebarang salah laku.”

Pada 11 Januari, lima hari selepas SC mengumumkan ia menyiasat Azam, SPRM berkata ia menerima laporan daripada kumpulan persatuan sivil Rakyat Malaysia Prihatin, mendakwa ia ada bukti rasuah dalam kalangan pegawai SC dan ahli lembaga pengarahnya.

Lim berkata SC perlu membuktikan tidak ada kegagalan penguatkuasaan dalam siasatannya berhubung kes Azam bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

Beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd serta 1.93 juta sama Gets Global Sdn Bhd pada 2015 dan seterusnya 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya.

Azam pada masa itu memegang jawatan pengarah penyiasatan SPRM.

Penjelasan Azam sebelumnya diterima oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang, yang kemudian merumuskan Azam tidak melakukan sebarang kesalahan. – 19 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen