Perancis catat rekod 464,000 kes harian Covid-19


Seorang lelaki menunggu di luar khemah untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di Paris. Perancis merekodkan 464,779 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam semalam. – Gambar EPA, 19 Januari, 2022.

KES harian baharu jangkitan Covid-19 di Perancis menghampiri angka setengah juta, apabila 464,779 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Perancis, secara purata, kes baharu Covid-19 di negara itu mencatat lebih 300,000 kes sehari akibat varian Omicron, sepanjang minggu lalu.

Kesatuan Guru Perancis turut bercadang mengadakan demonstrasi minggu ini, untuk membantah ujian saringan Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang didakwa mengganggu pembelajaran di kelas.

Mereka juga menuduh kerajaan gagal mewujudkan peraturan jelas yang akan memastikan jumlah sebenar pelajar yang boleh berada di sekolah.

“Gangguan di kelas menjadi tidak terurus dengan penularan varian Omicron menyebabkan ramai ibu bapa bergelut untuk mendapatkan janji temu vaksin untuk anak mereka dan terpaksa beratur panjang untuk ujian saringan di luar farmasi,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan untuk menyediakan lima juta pelitup muka untuk kakitangan sekolah serta mengupah lebih 3,000 guru ganti untuk menggantikan mereka yang terpaksa menjalani kuarantin selepas dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat. – AFP, 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen