AS bimbang Rusia perkenal senjata nuklear di Belarus


Amerika Syarikat bimbang latihan tentera antara Rusia dan Belarus akan berubah menjadi ancaman terhadap Ukraine dan sekali gus Eropah. – Gambar EPA, 19 Januari, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) bimbang kedatangan tentera Rusia di Belarus untuk latihan boleh membawa kepada kehadiran tetap yang mungkin memperkenalkan senjata nuklear ke negara itu, kata pegawai kanan Jabatan Negara kepada pemberita Selasa.

Pasukan tentera Rusia bergerak ke Belarus selepas orang kuat yang bersekutu dengan Moscow Alexander Lukashenko mengumumkan pada Isnin kedua-dua negara akan menjalankan latihan ketenteraan bulan depan.

Tindakan itu, yang dibuat tanpa notis awal yang lazimnya diberikan kepada negara-negara di rantau itu, menambah ketegangan yang meningkat dengan Barat berhubung kemungkinan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang bersempadan dengan Belarus.

Pegawai AS, bercakap tanpa mahu namanya disiarkan, berkata saiz pasukan Rusia yang tiba di Belarus “melebihi apa yang kami jangkakan daripada latihan biasa.”

“Masanya sangat ketara dan, sudah tentu, menimbulkan kebimbangan yang Rusia berhasrat menempatkan tentera di Belarus di bawah samaran latihan ketenteraan bersama untuk mungkin menyerang Ukraine,” kata pegawai itu.

Pegawai itu berkata perubahan kepada Perlembagaan Belarus dalam referendum bulan depan membolehkan kehadiran tentera Rusia menjadi kekal.

“Draf perubahan Perlembagaan itu mungkin menunjukkan rancangan Belarus untuk membenarkan kedua-dua pasukan konvensional dan nuklear Rusia ditempatkan di wilayahnya,” kata pegawai itu.

Itu akan mewakili “cabaran kepada keselamatan Eropah yang mungkin memerlukan tindak balas,” kata pegawai itu.

Belarus juga bersempadan dengan Poland, ahli Nato.

Pegawai itu berkata jumlah tentera yang digerakkan “sudah tentu melebihi apa yang kami jangkakan berkaitan dengan latihan biasa.”

Latihan biasa, yang melibatkan contohnya 9,000 tentera, memerlukan pemberitahuan seawal 42 hari. Jika lebih daripada 13,000, ia memerlukan pemerhati antarabangsa, kata pegawai itu.

“Itulah yang kelihatan seperti biasa. Ini adalah sesuatu yang sama sekali berbeza.”

“Dari masa ke masa, Lukashenko semakin bergantung kepada Rusia untuk semua jenis sokongan. Dan kami tahu beliau tidak mendapat sokongan itu secara percuma,” kata pegawai AS itu. – AFP, 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen