Microsoft bakal beli gergasi permainan AS Activision-Blizzard


Microsoft telah mengumumkan perjanjian AS$69 bilion untuk membeli gergasi permainan Activision Blizzard, antara usahanya untuk menyediakan blok binaan metaverse. – Gambar EPA, 19 Januari, 2022.

MICROSOFT pada Selasa mengumumkan perjanjian AS$69 bilion untuk membeli gergasi permainan Amerika Syarikat (AS) Activision Blizzard, firma di sebalik permainan seperti “Call of Duty” yang dilanda dakwaan diskriminasi seks terhadap wanita.

“Pemerolehan ini akan mempercepatkan pertumbuhan dalam perniagaan permainan Microsoft merentas telefon mudah alih, komputer, konsol dan awan selain akan menyediakan blok binaan untuk metaverse,” kata Microsoft dalam satu kenyataan.

Activision, pembuat “Candy Crush” yang berpangkalan di California telah dilanda bantahan pekerja serta tuntutan mahkamah yang mendakwa ia membolehkan keadaan tempat kerja toksik dan gangguan seksual terhadap wanita.

Sepanjang tujuh bulan lalu syarikat itu telah menerima kira-kira 700 laporan mengenai kebimbangan pekerja terhadap serangan seksual atau gangguan atau salah laku lain, dalam beberapa kes laporan berasingan mengenai kejadian yang sama, seperti yang dilaporkan The Wall Street Journal.

Hampir 20 peratus daripada 9,500 pekerja Activision Blizzard telah menandatangani petisyen menggesa CEO Bobby Kotick letak jawatan. – AFP, 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen