SINGAPURA mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas kemudahan awam di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin yang mengorbankan tiga nyawa, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu.
“Serangan seperti itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dibenarkan. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan segera kepada mangsa yang cedera,” kata kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di Singapura, hari ini.
Dilaporkan kumpulan pemberontak Houthi Yaman pada Isnin mengaku bertanggungjawab ke atas “operasi ketenteraan kualitatif” terhadap UAE sebagai sebahagian daripada gabungan tentera pimpinan Arab Saudi di Yaman.
Dakwaan itu dibuat Houthi sejurus selepas tiga lori tangki petroleum meletup dalam kebakaran berhampiran kemudahan penyimpanan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) di daerah perindustrian Musaffah di ibu negara UAE.
Satu kebakaran kecil turut berlaku di kawasan pembinaan baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.
UAE adalah anggota aktif pakatan di bawah pimpinan Saudi yang melancarkan perang besar-besaran menentang militan pemberontak Houthi di pelbagai kawasan di Yaman. – Bernama, 18 Januari, 2022.
Komen