Polis kesan sekumpulan individu pukul lelaki di pusat beli-belah Ipoh


POLIS sedang mengesan sekumpulan individu dipercayai terbabit kes memukul seorang lelaki di pusat beli-belah di Ipoh, Perak yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh Yahaya Hassan, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit lima saat memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu lain dipercayai berlaku di dalam pusat beli-belah seperti yang disebarkan pemilik akaun Facebook bernama ‘Melvin Zheng Wenxin’.

“Polis Daerah Ipoh ingin mengesahkan satu laporan polis diterima dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang awam disaran supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu kerana ia akan menjejaskan siasatan polis.

Yahaya berkata, pihaknya turut menyeru mangsa dalam kes itu dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tampil ke ibu pejabat polis daerah Ipoh atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Norshaharah Marzuki menerusi talian 012-5077026 bagi membantu siasatan. – Bernama, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen