Kabinet Thai lulus 1.48 bilion baht tangani kenaikan harga barang


Menurut kerajaan Thailand, 3,000 kedai termasuk kedai serbaneka, pusat beli-belah tempatan dan pasar menyertai program selama tiga bulan itu. – Gambar EPA, 18 Januari, 2022.

KABINET Thailand hari ini memperuntukkan 1.48 bilion baht (100 baht=RM12.65) daripada bajet kerajaan pusat bagi membiayai program yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana, berkata 3,000 kedai termasuk kedai serbaneka, pusat beli-belah tempatan dan pasar di seluruh negara akan menyertai program selama tiga bulan itu.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 50 unit kedai bergerak juga akan menjual produk pada harga lebih rendah kepada komuniti di Bangkok dan wilayah berdekatan.

“Program ini dicadangkan oleh Kementerian Perdagangan dalam usaha kerajaan mencegah kenaikan harga barangan keperluan.

“Produk yang diberi diskaun termasuk produk ladang seperti ayam, telur, daging babi dan produk keperluan daripada pembekal borong tempatan,” katanya pada sidang media di Bangkok.

Jelasnya, agensi berkaitan turut mengambil tindakan menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan beban rakyat.

Minggu lalu, Bank of Thailand berkata, inflasi kekal antara 1 hingga 3% tahun ini.

Di tengah-tengah kekurangan bekalan babi dalam negara itu, harga daging babi melonjak kepada lebih 200 baht (RM25.30) sekilogram sejak beberapa minggu lalu. Ia mendorong kenaikan harga keperluan lain seperti daging ayam dan telur. – Bernama, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen