HARI ini, genap 20 tahun lalu, nama negara terpahat di kemuncak tertinggi dunia. Dua anak Malaysia, M. Magendran dan N. Mohanadas mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest menjelang tengah hari 23 Mei 1997 waktu Nepal. Tepat pukul 2.10 petang waktu Malaysia.
Mereka adalah dua daripada empat pendaki akhir dalam pasukan 10 pendaki yang ketika itu menggalas cabaran untuk menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menawan kemuncak dunia itu. Mereka adalah bahagian daripada pasukan 20 anggota dalam misi yang dinamakan Projek Malaysia-Everest ’97.
Pendakian itu bukanlah sesuatu yang mudah, dan tidak juga murah. Jalannya panjang dan berliku, penuh cabaran. Cabarannya bukan saja dalam bentuk fizikal. Cabaran yang lebih utama ialah untuk menakluk keyakinan diri.
Idea menawan Gunung Everest sebenarnya bermula lebih kurang 15 tahun sebelum ia benar-benar menjadi kenyataan. Sebermulanya adalah apabila Kementerian Belia dan Sukan melancarkan program Malaysia Cergas pada 1983. Tujuannya ialah untuk menggalakkan aktiviti sukan dan rekreasi supaya rakyat terutamanya golongan muda lebih aktif.
Sekumpulan anak muda kemudiannya merancang mendaki Kala Pattar, satu daripada puncak gunung di Banjaran Himalaya. Mereka berjaya. Dari puncak Kala Pattar itu, Gunung Everest tampak megah dan seperti memanggil-manggil anak Malaysia.
Kejayaan mereka merancakkan lagi aktiviti lasak memanjat gunung di negara ini. Tetapi hanya lebih kurang 10 tahun kemudian barulah usaha konkrit dibuat untuk menawan puncak Everest dengan menempah slot mendaki, mengumpulkan dana serta proses memilih dan menyaring pendaki.
Seramai 120 orang dilaporkan menjalani ujian kelayakan sebelum 40 orang terpilih untuk mengikuti latihan kecergasan di dalam dan di luar negeri termasuk di India, New Zealand dan Nepal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Banjaran Himalaya. Daripada 40 pelatih itu, 10 orang kemudian terpilih untuk disenaraikan sebagai pasukan pendaki.
Peserta Projek Malaysia-Everest ’97 itu adalah perintis dalam projek besar idea Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu mahu membebaskan pemikiran rakyat daripada rasa rendah diri dan menggantikannya dengan semangat mahu berjaya dengan slogan “Malaysia Boleh”.
Projek itu menelan belanja RM4.5 juta dengan penglibatan bersama kerajaan dan swasta serta sumbangan orang ramai melalui tabung derma khas, Tabung Seringgit Ke Everest ’97.
Kalau itulah harga yang harus dibayar untuk mengubah sikap dan menanam keyakinan diri pada seluruh rakyat, secara relatifnya ia tidaklah terlalu besar.
Dua tahun selepas kejayaan menakluk Everest, Azhar Mansor belayar seorang diri mengelilingi dunia. Pada 2003 pula, Malik Maidin berenang menyeberang Selat Inggeris.
Tetapi bukan puncak Everest, tujuh lautan dunia atau Selat Inggeris sebenarnya yang jadi cabaran kita. Itu semua simbol atau perlambangan semata-mata.
Terlepas daripada perlambangan itu ialah kisah kecekalan manusia berhadapan alam yang sama sekali tiada belas kasihan, kisah kesungguhan manusia menguasai dirinya sendiri dan kisah kesabaran manusia menepis rasa tidak yakin yang selalunya ada pada orang lain.
Ini pun sebenarnya selalu kita alami. Contohnya, kalau kita beritahu orang lain mengenai impian mahu melakukan sesuatu, selain kata-kata sokongan dan galakan, kita juga biasa berdepan reaksi negatif. “Oh, fikir dulu; oh, itu bahaya” dan sebagainya.
Fikiran negatif yang impian itu mustahil sebenarnya adalah cerminan diri orang yang menuturkannya – bukan diri kita. Mereka mengukur kemampuan diri mereka pada impian kita dan menyangkakan kita seperti mereka juga. Yang tidak boleh itu, mereka – bukannya kita.
Dr Mahathir semasa melepaskan anggota Projek Malaysia-Everest ’97 di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 28 Februari 1997 berkata:
“Kita mesti sanggup menerima cabaran walaupun ia ada risiko.”
Beliau juga mengingatkan tentang konsep berani yang perlu ada untuk mencapai kejayaan. Berani itu katanya, bukan bermakna sembrono dan terburu-buru sehingga merugikan diri sendiri. Sebaliknya, berani itu mesti bertempat dan yang lebih penting, dipasak dengan akal yang bijak.
Alumni projek menakluk kemuncak tertinggi di dunia ini banyak belajar tentang diri mereka sendiri. Kita juga terhutang kepada mereka kerana menunjukkan tiada yang mustahil dan tidak dapat dikuasai di dunia ini asal saja kita bersungguh-sungguh.
Terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada semua anggota Projek Malaysia-Everest ’97. Selamat ulang tahun ke-20. – 23 Mei, 2017.
* Ahmad Farhan ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen