Kerajaan peruntuk RM635 juta kebajikan warga emas, kata timbalan menteri


Sebanyak RM19 juta diperuntukkan bagi geran operasi 275 NGO terutamanya institusi penjagaan warga emas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

KERAJAAN memulakan langkah awal meletakkan kebajikan dan kepentingan warga emas sebagai keutamaan dengan memperuntukkan sebanyak RM635 juta tahun ini bagi perbelanjaan bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ia sebahagian daripada persiapan Malaysia dalam menuju status negara tua menjelang 2030, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program turun padang ke pusat aktiviti wanita di pejabat pembangunan wanita di Labuan, Sabah hari ini.

Siti Zailah berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM607 juta diperuntukkan untuk bantuan sosioekonomi membabitkan seramai 140,000 penerima dan sebanyak RM870,000 wang saku diberikan kepada warga emas membabitkan 2,400 orang penghuni di 18 buah institusi penjagaan warga emas.

Katanya lagi, sebanyak RM19 juta pula diperuntukkan bagi geran operasi 275 badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya institusi penjagaan warga emas dan RM9 juta lagi diperuntukkan bagi memperkukuh 153 buah PAWE dengan peruntukan sebanyak RM7.9 juta.

“Kementerian juga memperuntukkan RM1.1 juta untuk pengoperasian sembilan buah unit penyayang warga emas… pada masa sama peruntukan PAWE juga dinaikkan sebanyak RM3 juta, menjadi RM7.9 juta bagi 2022 berbanding RM4.9 juta pada 2021,” katanya.

Siti Zailah berkata, bantuan kewangan pengoperasian PAWE berjaya dinaikkan selepas 20 tahun, daripada RM33,330 kepada RM50,000 setahun bagi 2022.

“Jika sebelum ini, elaun penyelia pada kadar RM650 sahaja sebulan, bagi 2022 elaun penyelia dinaikkan kepada RM1,100 iaitu peningkatan sebanyak RM450.

“Manakala bayaran elaun pembantu penyelia pula dinaikkan sebanyak RM200, menjadi RM650 berbanding RM400 sebelum ini, selain peruntukan bayaran sewa sebanyak RM3,000 setahun,” katanya.

Beliau juga berkata, sejumlah RM2.68 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Bajet 2022 dengan RM2.5 bilion daripadanya peruntukan pembangunan. – Bernama, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen