POLIS menahan seorang doktor klinik swasta di Kota Bharu, Kelantan dan tiga individu bagi membantu siasatan penipuan pengeluaran kad vaksinasi Covid-19 palsu.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat, berkata doktor lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga pemilik klinik itu ditahan semalam manakala tiga individu penerima vaksin pula ditahan pada Ahad lalu hasil serbuan di klinik itu.
“Keempat-empat mereka dibebas dengan jaminan polis namun siasatan lanjut mengenai kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafien berkata, serbuan di klinik itu dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan berkaitan pengeluaran kad vaksinasi disyaki palsu, Ahad lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerima empat aduan daripada sumber berbeza mengenai pengeluaran kad vaksinasi palsu oleh klinik berkenaan antara 1 Oktober hingga 11 Januari lalu.
Katanya, hasil semakan lanjut mendapati empat individu yang dikatakan menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.
“Selain penahanan doktor itu, polis turut merampas kad vaksinasi dan dokumen lain berkaitan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kad vaksinasi palsu diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya. – Bernama, 18 Januari, 2022.
Komen