Mahkamah Korea Selatan tolak saman bintang luncur laju


Bintang sukan luncur laju Korea Selatan Shim Suk-hee terlibat dalam skandal mesej dihantar kepada jurulatihnya yang melanggar kod etika amalan sukan itu. – Gambar AFP, 18 Januari, 2022.

HARAPAN bintang luncur laju Korea Selatan Shim Suk-hee untuk menyertai Olimpik Beijing hancur berkecai pada Selasa selepas beliau kalah kes di mahkamah bagi membatalkan penggantungan dua bulan penglibatan dalam sukan itu yang menyebabkannya tidak boleh bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk, lapor media tempatan.

Shim adalah salah seorang atlit luncur laju Korea Selatan paling berjaya, menang empat pingat Olimpik termasuk pingat emas pada 2014 dan 2018.

Beliau digantung selama dua bulan daripada menyertai sebarang pertandingan oleh Kesatuan Luncur Korea (KSU) pada Disember selepas mesej “berbaur ugutan” kepada rakan sepasukan didedahkan kepada awam, sehingga menjejaskan peluangnya untuk menyertai Olimpik Beijing.

Shim, 24, memfailkan injuksi mahkamah bagi mendapatkan arahan pembatalan penggantungan itu, tetapi Mahkamah Timur Seoul menolak petisyen itu pada Selasa, lapor agensi berita Yonhap.

Mahkamah bersetuju dengan pandangan KSU yang mesejnya “melanggar kod etika pasukan kebangsaan”, kata seorang pegawai KSU kepada Yonhap selepas mahkamah mengeluarkan penghakimannya.

Mesej Shim dihantar kepada jurulatihnya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 didedahkan pertama kali oleh media pada Oktober lepas.

Di dalam mesej itu, Shim “mencadangkan” beliau boleh menjatuhkan rakan sepasukannya Choi Min-jeong jika mereka bertanding di dalam acara sama di Pyeongchang.

Kedua-dua mereka mara ke pusingan akhir luncur laju 1,000 meter wanita tetapi bertembung di luncur akhir sehingga menyebabkan mereka terjatuh dan melanggar dinding keselamatan gelanggang.

Shim hilang kelayakan dalam acara itu dan Choi menduduki tempat keempat. Penyiasat membuat kesimpulan yang Shim tidak sengaja mensabotaj Choi kerana kekurangan bukti kejadian dilakukan dengan sengaja.

Shim meminta maaf atas “tindakan tidak matangnya” apabila mesej itu didedahkan media kepada awam.

Sukan Korea Selatan menyaksikan sejumlah kes buli, dera dan kekurangan displin atlit sejak beberapa tahun lepas termasuklah di dalam sukan luncur ais.

Shim adalah mangsa penderaan yang dialaminya bertahun-tahun sejak terlibat dalam sukan luncur ais.

Salah seorang jurulatihnya-tidak terlibat dalam skandal mesej terbaru- dijatuhi hukuman penjara tahun lepas selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual kepada Shim selama beberapa tahun. – AFP, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen