KDNK China cecah RM75.4 trilion


Biro Statistik Negara menyatakan, berdasarkan data, ekonomi China kekal menduduki tangga kedua di dunia. – Gambar EPA, 18 Januari, 2022.

JUMLAH Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat RMB114.367 trilion (RM75.4 trilion) pada 2021, meningkat 8.1% berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Biro Statistik Negara (NBS) pada Isnin, jumlah KDNK per kapita diunjur melebihi AS$12,551 (RM52,321).

Ketua NBS Ning Jizhe berkata, data itu menandakan peningkatan terhadap kekuatan komprehensif China, termasuk produktiviti sosial dan taraf hidup rakyatnya.

Secara tidak langsung ia turut menggambarkan pembangunan China mempunyai dasar lebih kukuh, situasi lebih baik dan momentum mencukupi, katanya.

Ekonomi China kekal menduduki tangga kedua di dunia berdasarkan data itu, manakala jumlah pengeluaran biji-bijian China pula mencecah 682.85 juta tan pada 2021.

Selain itu, seramai 12.68 juta penduduk di bandar dan luar bandar China memperoleh pekerjaan baharu sepanjang 2021, pertambahan sebanyak 830,000 berbanding 2020.

Ia menyaksikan pendapatan per kapita penduduk seluruh negara mencecah RMB35,000 (RM23,072), meningkat 8.1% berbanding tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan per kapita penduduk pula sebanyak RMB24,000 (RM15,821), meningkat 12.6%.

Sementara itu, jumlah jualan runcit sosial China pada 2021 merekodkan RMB44 trilion (RM29 trilion), keperluan domestik menyumbang 79.1% kepada pertumbuhan ekonomi China sepanjang 2021.

Pertumbuhan ekonomi China yang pesat merangsang pertumbuhan ekonomi sejagat dan China dianggarkan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia sebanyak 25% pada 2021.

Sejak setahun lalu China mengambil langkah pencegahan dan kawalan lebih ketat agar kesihatan dan keselamatan 1.4 bilion rakyatnya terjamin.

China mendorong kerjasama antarabangsa secara aktif bagi melawan pandemik Covid-19.

Hingga kini, China membekal lebih 2 bilion dos vaksin Covid-19 kepada lebih 120 buah negara dan pertubuhan antarabangsa, menjadikannya negara paling banyak membekalkan vaksin kepada negara lain. – Bernama, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen