PRESIDEN China, Xi Jinping menyeru dunia melaksanakan segala yang perlu dalam menghadapi rintangan pandemik Covid-19.
Dalam ucaptamanya sempena sesi tahunan Davos Forum Ekonomi Dunia (WEF) menerusi pautan video malam Isnin, beliau berkata, dunia perlu berusaha merangsang pemulihan sosioekonomi supaya harapan rakyat kembali bersinar.
“Jawapan harus diberikan kepada persoalan utama mengenai cara mengatasi pandemik Covid-19 serta membina dunia pasca pandemik.
“Ia isu utama yang menjadi kebimbangan rakyat serata dunia,” kata Xi.
Jelasnya, dunia ketika ini mengalami perubahan besar yang tidak pernah terjadi dalam tempoh satu abad, selain ia berlaku secara mendalam dan menyeluruh.
Xi berkata, solidariti dan kolaborasi masyarakat antarabangsa dalam memerangi wabak amat diperlukan.
“Di tengah-tengah krisis global, bot kecil tidak dapat bertahan dalam ribut kencang, namun dengan adanya kapal gergasi, mereka mampu menghadapi ombak besar,” ujar beliau.
Xi berpendapat, semua negara perlu bekerjasama melawan wabak, melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan, memperkukuh benteng pengawalan dan pencegahan terhadap penularan wabak serta menggerakkan usaha membina komuniti kesihatan sesama insan.
Beliau turut menekankan amalan multilateralisme (kerjasama pelbagai hala) sebenar perlu menjadi pegangan setiap negara ketika memantapkan peremajaan ekonomi global.
“Kita harus menghapuskan halangan, bukan membina tembok. Kita patut kekal terbuka, bukan menutup pintu. Kita harus mewujudkan integrasi, bukan mencantas. Inilah cara untuk membina ekonomi dunia yang terbuka,” ujar Xi.
Pada pandangan beliau, globalisasi ekonomi harus bergerak ke arah lebih terbuka, inklusif, memanfaatkan semua, seimbang dan saling menguntungkan.
Sementara itu, Presiden Xi menyuarakan keyakinan terhadap masa depan ekonomi China.
Untuk rekod, prestasi ekonomi China kekal utuh secara keseluruhan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menokok sekitar 8% pada 2021 dan mencapai dua sasaran iaitu pertumbuhan agak tinggi serta inflasi rendah.
Selain itu, Xi turut mengulangi komitmen China memajukan pembangunan berkualiti tinggi, memantapkan pembaharuan dan pintu terbuka serta membina tamadun ekologi. – Bernama, 18 Januari, 2022.
Komen