Muhyiddin perlu lapor dakwaan ‘campur tangan kehakiman’, kata Gobind


Raevathi Supramaniam

Dakwaan dibuat Muhyiddin Yassin mengenai pihak tertentu mendesaknya supaya masuk campur urusan kehakiman adalah tuduhan berat dan kegagalan melaporkannya adalah kesalahan jenayah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin dihendaki undang-undang untuk melaporkan sebarang kejadian campur tangan kehakiman, kata Gobind Singh Deo hari ini.

Ahli Parlimen Puchong itu merujuk kepada kenyataan Muhyddin tahun lepas apabila beliau mendakwa keabsahan beliau sebagai perdana menteri dipersoalkan apabila beliau menolak untuk campur tangan dalam proses mahkamah melibatkan beberapa orang politikus.

“Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat laporan polis atau SPRM berhubung dakwaan beliau bahawa ada pihak tertentu telah mendesak beliau mencampuri urusan mahkamah
untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah semasa beliau menjadi perdana menteri?

“Adakah beliau sudah membuat laporan dan jika sudah, adakah dia menyatakan nama mereka yang didakwa telah membuat desakan itu?

“Jika beliau tidak melakukannya, maka beliau harus menjelaskan mengapa tidak,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Gobind memetik peruntukan di dalam Akta SPRM mengenai keperluan membuat laporan kepada SPRM atau polis dalam sebarang kejadian rasuah. 

“Seksyen 25 (1) Akta SPRM menyatakan ‘mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan, apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai Suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir’.

“Seksyen 25 (2) kemudiannya menyatakan ‘mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya’.” 

Wakil rakyat DAP itu berkata dakwaan dibuat Muhyiddin adalah serius dan melibatkan kepentingan awam dan perlu ditangani selaras dengan peruntukan perundangan.

Dipercayai Muhyiddin merujuk kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak yang berdepan pelbagai pertuduhan mahkamah berkaitan rasuah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Sebelum ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menuntut Muhyiddin membuat penjelasan lanjut mengenai dakwaan campur tangan urusan kehakiman dibuatnya. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen