Pegawai polis Pakistan, dua militan terbunuh pertempuran di Islamabad


Pertempuran senjata api pada Isnin malam itu bermula apabila dua lelaki bersenjata yang menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah pusat pemeriksaan polis di Islamabad, Pakistan. – Gambar EPA, 18 Januari, 2022.

SEORANG pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan di ibu negara Pakistan, kata pegawai pada Selasa.

Pertempuran senjata api pada Isnin malam itu bermula apabila dua lelaki bersenjata yang menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah pusat pemeriksaan polis di Islamabad.

“Seorang anggota polis maut manakala dua lagi cedera,” kata polis dalam satu kenyataan, menambah kedua-dua penyerang turut terbunuh.

Menteri dalam negeri Pakistan telah mengarahkan siasatan terhadap insiden itu, merupakan pelanggaran keselamatan yang jarang berlaku di ibu negara itu, menempatkan berpuluh-puluh kedutaan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, tetapi Pakistan sedang bergelut dengan kebangkitan Taliban tempatan selepas kumpulan itu kembali berkuasa di Afghanistan tahun lepas.

Shahid Zaman, pegawai kanan Polis Islamabad, memberitahu AFP insiden itu adalah “tindakan keganasan”.

Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) meruapakan gerakan berasingan yang berkongsi akar sama dengan kumpulan di Afghanistan.

Akhir tahun lepas kerajaan Pakistan mengumumkan ia telah memasuki gencatan senjata selama sebulan dengan TTP, yang berkait dengan Taliban Afghanistan, namun tamat pada 9 Disember selepas rundingan damai gagal mencapai kemajuan.

TTP telah dipersalahkan atas beratus-ratus serangan bom bunuh diri dan penculikan di seluruh negara, dan buat sementara waktu telah menguasai kawasan yang luas di kawasan puak yang lasak di negara ini, mengenakan versi radikal undang-undang Islam.

Bagaimanapun selepas pembunuhan beramai-ramai hampir 150 kanak-kanak di sekolah di Peshawar pada 2014, tentera Pakistan menghantar sejumlah besar tentera ke kubu TTP dan menghancurkan pergerakan itu, memaksa pemberontak berundur ke Afghanistan. – AFP, 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen