Produk kopi berperisa durian tidak akan dipanggil balik, kata KKM 


Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam berkata lawatan pihaknya ke kilang mendapati tiada sebarang elemen narkotik mahupun bukti yang meletakkan kesalahan kepada pengilang produk kopi berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018. 

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan memanggil balik produk kopi segera berperisa durian yang dipercayai menjadi punca tujuh orang terpaksa dirawat di hospital, berikutan tiada bukti pencemaran produk itu berpunca dari pengilang, menterinya Dr S. Subramaniam dilaporkan sebagai berkata. 

“Selain beberapa paket ini, tiada bukti untuk meletakkan kesalahan terhadap pengeluar,” Dr Subramaniam dipetik sebagai berkata oleh The Star Daily.

Beliau berkata pihak kementerian telah mengadakan lawatan ke kilang kopi berkenaan dan menguji produk mereka. 

“Kita tidak menemui sebarang elemen narkotik dan tiada sebarang bukti untuk menyalahkan pengilang.”

Dr Subramaniam juga berkata, pihak berkuasa juga mendapati dadah berkenaan diletakkan ke dalam paket kopi segera yang sudah dirosakkan, yang mana ia dijual di seluruh Malaysia dan negara jiran Singapura, tetapi masih menyiasat bagaimana dan mengapa kopi berkenaan tercemar. 

“Kami mahu polis menyiasat bagaimana bahan ini boleh masuk ke dalam kopi campuran. 

“Terdapat perkaitan yang mana mereka yang sakit itu menerima kopi daripada orang yang tidak dikenali,” beliau dilaporkan sebagai berkata. 

Siasatan awal polis mendapati, paket kopi berkenaan telah dibuka dan dibungkus semula, dengan 10 gram bahan berwarna hijau ditambahkan ke dalamnya.

Pada Sabtu, dua pemandu lori sampah menjadi mangsa terbaru kopi segera berkenaan selepas rakan sekerjanya berkongsi satu daripada dua paket kopi yang ditemui dalam satu tong sampah di Pulau Pinang. 

Menurut polis, mangsa yang berusia 60 tahun dan dikenali sebagai Mat Dat mula muntah dan mengalami sakit kepala 10 minit selepas minum minuman berkenaan. 

Rakannya Md Ruslan Hussain, 59 tahun turut mengadu pemandangan menjadi kabur sebelum pengsan. 

Rakan serumah mereka kemudiannya menghantar mereka ke hospital di Pulau Pinang.

“Kami telah hubungi penyelia syarikat kutipan sampah itu di Relau untuk menjaga pekerjanya, kata Dr Subramaniam. 

“Kami mahu dia serahkan paket berkenaan kepada kami untuk siasatan.”

Lima lagi mangsa, termasuk dua wanita berusia 19 dan 62 tahun, jatuh sakit antara 27 Januari dan 30 Januari selepas meminum minuman kopi berperisa durian.

Pihak berkuasa makanan Singapura telah menarik balik produk berkenaan daripada pasaran, sementara siasatan dijalankan. – 5 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen