SEORANG wartawan ditembak mati pada Isnin di bandar Tijuana, Mexico yang bersempadan dengan Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.
Margarito Martinez, 49, diserang dengan senjata api dan mayatnya ditemui berhampiran rumahnya, kata sekretariat keselamatan di negeri barat laut Baja California dalam satu kenyataan.
Martinez, yang bekerja untuk media termasuk Zeta of Tijuana, menerima ugutan, menurut kumpulan hak media.
Pihak berkuasa juga sedang menyiasat pembunuhan seorang lagi wartawan dan aktivis media sosial, Jose Luis Gamboa, yang meninggal dunia di hospital beberapa hari selepas ditikam di negeri timur Veracruz pada 6 Januari.
Tidak jelas sama ada pembunuhan itu berkaitan dengan kerjanya.
Badan pemerhati hak media Reporters without Borders (RSF) mengklasifikasikan Mexico di samping negara yang dilanda perang seperti Afghanistan dan Yaman sebagai tempat paling berbahaya di dunia bagi media.
Sekurang-kurangnya tujuh wartawan dibunuh di Mexico pada 2021, menurut kiraan AFP, walaupun tidak dapat ditentukan sama ada semua pembunuhan itu dikaitkan dengan kerja mereka.
Lebih 100 wartawan dibunuh sejak 2000 di Mexico dan hanya sebahagian kecil daripada jenayah mendapat keadilan di mahkamah. – AFP, 18 Januari, 2022.
Komen