SEKURANG-KURANGNYA 26 orang terbunuh selepas gempa bumi melanda barat Afghanistan pada Isnin, kata seorang pegawai.
Mangsa maut apabila bumbung rumah mereka runtuh di daerah Qadis di wilayah barat Badghis, kata jurucakap wilayah Baz Mohammad Sarwary kepada AFP.
Menurut US Geological Survey, gempa itu berskala 5.3 magnitud.
“Lima wanita dan empat kanak-kanak adalah antara 26 orang yang terkorban dalam gempa bumi itu,” kata Sarwary sambil menambah empat lagi cedera.
Gempa itu turut menyebabkan kerosakan kepada kediaman daerah Muqr di wilayah itu tetapi butiran termasuk mangsa yang terkorban masih tidak dapat diperolehi, katanya.
Afghanistan sudah berada dalam cengkaman bencana kemanusiaan, diburukkan lagi dengan pengambilalihan Taliban ke atas negara itu pada Ogos apabila negara Barat membekukan bantuan antarabangsa dan akses kepada aset yang dipegang di luar negara.
Qadis adalah salah satu kawasan yang paling teruk terjejas oleh kemarau yang dahsyat, mendapat sedikit manfaat daripada bantuan antarabangsa dalam tempoh 20 tahun lalu.
Negara ini sering dilanda gempa bumi, terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush, yang terletak berhampiran persimpangan plat tektonik Eurasia dan India.
Gempa bumi boleh menyebabkan kerosakan kepada rumah dan bangunan yang tidak dibina dengan baik di Afghanistan yang miskin.
Pada 2015, hampir 280 orang terbunuh apabila gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda dengan sebahagian besar kematian di Pakistan.
Dalam bencana itu, 12 remaja Afghanistan maut dalam rempuhan ketika mereka cuba melarikan diri dari bangunan sekolah mereka yang bergegar. – AFP, 18 Januari, 2022.
Komen