PRESIDEN Indonesia Joko Widodo memilih Nusantara sebagai nama ibu kota negaranya yang baharu, yang sedang dibangunkan di Kalimantan Timur, lapor media di republik.
Nama itu terpilih daripada lebih 80 nama yang dicadangkan kepada Jokowi, kata Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Suharso Monoarfa.
“Ada sekitar 80 lebih tapi kemudian akhirnya dipilih kata Nusantara tanpa kata Jaya,” katanya, seperti dipetik CNN Indonesia.
Suharso memaklumkan pemilihan nama itu kepada jawatankuasa khas yang menyusun rang undang-undang mengenai ibu kota negara yang baharu di Jakarta, hari ini.
Suharso juga memberitahu Jokowi mengesahkan pemilihan nama itu kepadanya pada Jumaat lepas.
Nusantara terpilih mengatasi nama-nama lain yang dicadangkan, antaranya Negara Jaya, Nusantara Jaya, Nusa Karya, Warna Pura, Cakrawala Pura, dan Kertanegara.
Nama itu juga terpilih atas nasihat dan maklum balas sekumpulan pakar termasuk ahli bahasa dan sejarah, kata Suharso.
Nama itu terpilih antaranya kerana ia sudah lama dikenali, sejak sebelum Indonesia merdeka, selain menggambarkan kenusantaraan republik itu, tambahnya.
“Saya kira kita semua setuju dengan istilah Nusantara itu,” katanya. – 17 Januari, 2022.
Komen