POLIS menahan 10 ahli sindiket judi dalam talian di dua premis di Klang, Selangor menerusi Ops Khas Perjudian sejak Jumaat lalu hingga semalam.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata enam lelaki, tiga wanita serta seorang wanita warga asing, semuanya berusia 20-an hingga 40-an dipercayai menjalankan aktiviti mempromosi dan menganjurkan judi dalam talian membabitkan transaksi hampir RM5 juta sebulan dengan pemain melebihi 3,000 orang.
“Sindiket dikesan mempunyai pemain dalam kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia. Mereka menggunakan pelbagai akaun bank tempatan dan luar bagi transaksi kewangan perjudian,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Arjunaidi berkata, pihaknya turut merampas 21 komputer riba, perkakas teknologi maklumat serta wang tunai RM100,000 dalam operasi itu.
Beliau berkata, semua 10 individu itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1)(a)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerusi operasi sama turut menahan 13 pemain judi dan lima penjaga premis di sebuah premis di Klang Selatan dan dua premis di Kajang.
Menurutnya, 59 komputer, beberapa perkakas teknologi maklumat serta wang tunai berjumlah RM3,210 dirampas manakala semua 18 individu itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Arjunaidi berkata, seramai 10,649 individu di Selangor ditahan pada 2020 hingga 2021 berkait kegiatan perjudian dengan 6,432 kertas siasatan dibuka dan 92% kertas siasatan itu berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan perjudian mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya, bagi judi dalam talian, 2,106 kertas siasatan dibuka membabitkan tangkapan 5,792 orang manakala 4,326 kertas siasatan berkaitan loteri awam tanpa lesen dibuka dengan 4,857 orang ditahan. – Bernama, 17 Januari, 2022.
Komen