RAKYAT Malaysia diingatkan supaya sentiasa kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Thaipusam esok dan Tahun Baru Cina bulan depan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan di akaun Twitter hari ini meminta orang ramai terus memakai pelitup muka dan mengamalkan TRIIS - uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan setiap masa; tukarkan kepada ‘MySJ Trace’ pada aplikasi MySejahtera mereka dan dapatkan dos penggalak.
“Kami sudah lakukan dengan baik memastikan kadar jangkitan Covid-19 kekal berada di bawah kawalan ketika Krismas dan Tahun Baru, walaupun berhadapan Omicron.
“Pada ketika kita sambut Thaipusam dan CNY (Tahun Baharu Cina) jumlah jangkitan harian boleh meningkat, jadi terus kekalkan SOP (terutamanya menggunakan pelitup muka), TRIIS, aktifkan ‘MySJ Trace’ di tempat sesak dan dapatkan dos penggalak,” katanya.
Khairy berkata, hingga kini 4,724,012 pengguna MySejahtera mengaktifkan MySJ Trace dan 2,179 kes positif dimuat naik interaksi mereka sekali gus membantu memaklumkan orang lain yang berada dalam kawasan berdekatan memantau gejala atau lakukan ujian kendiri.
Beliau berkata, sertailah komuniti MySJ untuk terus memastikan semua selamat. – Bernama, 17 Januari, 2022.
Komen