Parlimen tangguh mesyuarat jawatankuasa pilihan susulan bantahan Azam Baki


Chan Kok Leong

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan beliau membenarkan adiknya Nasir Baki membeli saham menggunakan akaun dagangan miliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

PERTEMUAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki pada Rabu dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri ditangguhkan.

Notis itu dihantar Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin hari ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan pada Rabu, 19 Januari akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen,” kata Nizam.

Terdahulu, jawatankuasa pilihan khas itu dijadual membincangkan isu pegangan saham Azam dalam dua syarikat senaraian awam.

Walaupun Azam turut diminta menghadiri mesyuarat itu, beliau tidak menyatakan sama ada akan hadir atau sebaliknya.

Ia selepas Azam mendedahkan beliau membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Malaysiakini melaporkan Azam menulis surat kepada pengerusi jawatankuasa Abdul Latiff Rahman, yang juga ahli parlimen Kuala Krai, bahawa pendengaran itu melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azam dilaporkan memaklumkan Latiff bahawa beliau memfailkan saman fitnah atas tuduhan yang dibuat terhadapnya dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin dipertimbangkan oleh mahkamah.

Azam juga menyatakan beliau sedang disiasat Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen