7 ditahan terlibat jual sijil vaksin Covid-19 palsu


Sebuah klinik swasta di Selangor diserbu kerana dipercayai mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kepada orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

POLIS Selangor menahan tujuh individu termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak kerana dipercayai mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kepada orang ramai, lapor media.

Mereka ditahan dalam serbuan ke atas klinik berkenaan Jumaat lepas, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Kumpulan ini menjadikan golongan antivaksin sebagai sasaran mereka yang didekati melalui hebahan menggunakan WhatsApp atau kenalan rapat, katanya.

“Klinik akan mengenakan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

“Bagi pelanggan yang tidak mahu disuntik, klinik ini akan membuang vaksin itu dan memulangkan botol kepada Kementerian Kesihatan sebagai tanda ia sudah digunakan,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita, semuanya berumur antara 20 hingga 35 tahun.

Arjunaidi juga berkata klinik berkenaan mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

Siasatan polis mendapati klinik berkenaan sudah mendaftarkan 5,601 penerima vaksin ke dalam sistem MySejahtera.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” tambah Arjunaidi.

Siasatan awal polis juga mendapati klinik swasta ini sudah memberikan sijil vaksinasi palsu sejak tiga bulan lalu dengan bayaran RM3,000 tetapi sekarang dikurangkan sehingga RM500 kerana banyak persaingan.

Polis sementara itu sedang mengesan klinik lain yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen