Menteri Australia sahkan Djokovic sudah dihantar pulang


Orang ramai kelihatan berjalan di depan poster Novak Djokovic pada hari pertama kejohanan tenis Terbuka Australia di Melbourne Park. – Gambar EPA, 17 Januari, 2022.

KERAJAAN Australia mengesahkan Novak Djokovic sudah dihantar pulang dari negara itu.

Djokovic, pemain tenis lelaki ranking nombor satu dunia, pada malam Ahad meninggalkan Australia hanya beberapa jam sebelum bermulanya Terbuka Australia selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan visanya, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Ahad, Menteri Imigresen Alex Hawke - yang membuat keputusan untuk membatalkan visa – mengesahkan bintang Serbia itu meninggalkan Australia.

“Saya menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan Penuh Australia hari ini, mengekalkan keputusan saya untuk menggunakan kuasa saya di bawah Akta Migrasi bagi membatalkan visa Novak Djokovic demi kepentingan awam,” katanya.

Terdahulu pada malam Ahad, panel penuh Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Hawke mempunyai kuasa undang-undang untuk membatalkan visa Djokovic di bawah Akta Migrasi.

Djokovic dalam satu kenyataan berkata beliau “amat kecewa” dengan keputusan itu tetapi “menghormati” keputusan mahkamah.

Terbuka Australia 2022 bermula pada Isnin, dengan Salvatore Caruso dari Itali menggantikan Djokovic dalam undian sebagai “the lucky loser”. – Bernama, 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen