Kebenaran CAAM perlu jika mahu terbangkan dron ketika Thaipusam, kata Bukit Aman


Individu yang mahu menerbangkan dron untuk merakam suasana Thaipusam perlu mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

INDIVIDU yang ingin menerbangkan dron bagi merakam suasana sambutan Thaipusam pada Selasa ini perlu mendapatkan permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali.

Beliau berkata, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil jika ada individu melanggar peraturan itu.

“Anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut akan digerakkan bagi membantu penugasan mengawal keselamatan dan kelancaran sambutan itu yang bakal bermula malam ini,” katanya.

Sementara itu, di Selangor kira-kira 2,000 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan sambutan Thaipusam di dua lokasi utama di negeri itu berjalan lancar.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, seramai 1,500 anggota ditempatkan di sekitar Batu Caves manakala bakinya di Kuala Selangor.

Di Pulau Pinang pula seramai 1,300 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan, menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen