Thailand lapor kes kematian pertama Omicron


Seorang wanita berusia 86 tahun dari Hatyai, Songkhla yang menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech meninggal dunia akibat jangkitan Omicron pada 12 Januari. – Gambar AFP, 16 Januari, 2022.

THAILAND melaporkan kes kematian pertama akibat varian baharu Covid-19 Omicron.

Pejabat kesihatan di wilayah selatan Songkhla berkata, seorang wanita berusia 86 tahun dari Hatyai, Songkhla yang menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech meninggal dunia akibat jangkitan Omicron pada 12 Januari.

Pesakit Alzheimer yang terlantar itu dipercayai dijangkiti varian Omicron melalui cucu, katanya.

Analisis tambahan di makmal menunjukkan wanita itu diuji positif bagi varian Omicron.

Kes pertama membabitkan varian Omicron dikesan bulan lalu dan negara gajah putih itu merekodkan lebih 10,000 kes Omicron sehingga kini.

Sebanyak 8,077 kes baharu Covid-19 dan sembilan kematian direkodkan sejak 24 jam lalu, pertama kali angka kematian harian menurun kepada satu digit.

Thailand merekodkan 2,324,485 kes jangkitan dan 21,925 kematian setakat ini. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen