Kes Covid-19 terus berkurangan, 99% kategori 1 dan 2, kata Dr Noor Hisham


Sebanyak 2,584 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,735,355 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

JUMLAH kes Covid-19 dilaporkan hari ini mencatatkan penurunan bagi hari ketiga berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 3,010 kes iaitu berkurangan sedikit berbanding 3,074 kes, semalam.

Sebelum itu, sebanyak 3,346 kes dilaporkan pada 14 Januari iaitu menurun berbanding 3,684 kes yang dilaporkan pada 13 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, daripada 3,010 kes dilaporkan hari ini, 99.1% atau 2,982 kes dalam kategori 1 dan 2.

“Hanya 28 kes atau 0.9% adalah kategori 3, 4 dan 5,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 2,584 kes sembuh yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,735,355 kes.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 3,010 kes baharu yang dilaporkan hari ini 2,747 adalah kes tempatan manakala 263 adalah kes import.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kluster baharu dikesan KKM hari ini menjadikan jumlah kluster aktif ketika ini sebanyak 176 kluster.

Katanya, kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara adalah 0.99 dengan Kuala Lumpur mencatat kadar tertinggi iaitu 1.08 dan empat negeri pada kadar sifar. Empat negeri itu Sarawak, Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web CovidNow dan data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, Dr Noor Hisham berkata, tiada kes baharu positif Covid-19 mahupun kluster baharu dikesan dalam kalangan mangsa terjejas banjir hari ini dan jumlah kes positif yang dicatat kekal 471 kes dan satu kluster.

Beliau berkata, tiada penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir. – Bernama, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen