Presiden Serbia kecam pihak berkuasa Australia


Presiden Serbia Aleksandar Vucic berkata tindakan pihak berkuasa Australia memberi layanan buruk selama 10 hari dengan memalukan Novak Djokovic sebenarnya telah memalukan diri mereka sendiri. – Gambar EPA, 16 Januari, 2022.

PRESIDEN Serbia Aleksandar Vucic mengecam tindakan pihak berkuasa Australia hari ini, beberapa jam selepas mahkamah persekutuan negara itu membenarkan pengusiran Novak Djokovic sehari sebelum Terbuka Australia berhubung status vaksinasinya.

“Mereka fikir mereka boleh melakukan ini, memberi layanan buruk selama sepuluh hari ini dengan memalukan Djokovic, tetapi mereka telah memalukan diri mereka sendiri. Djokovic akan kembali ke negaranya dengan rasa bangga,” kata Vucic kepada media kerajaan.

Vucic kekal teguh menyokong Djokovic sepanjang drama itu, sambil menggelar penahanan awal bintang tenis yang tidak divaksin itu sebagai “pemburuan ahli sihir politik”.

“Saya bercakap lebih awal dengan Novak Djokovic selepas keputusan itu dan saya menggalakkannya. Kami berharap untuk melihat beliau kembali ke negaranya, di mana beliau sentiasa dialu-alukan,” tambah presiden itu.

Terdahulu di Australia, Djokovic berkata beliau “amat kecewa” dengan keputusan mahkamah persekutuan yang mengekalkan hak kerajaan membatalkan visanya kerana bimbang beliau akan mencetuskan sentimen anti-vaksin sekali gus melenyapkan impiannya untuk melakar sejarah memenangi Grand Slam ke-21.

Di Serbia, keputusan itu mencetuskan kemarahan peminat Djokovic.

“Ia satu sandiwara… Semua ini tiada kaitan dengan sukan itu,” kata Nebojsa Viskovic, seorang wartawan yang membuat liputan terutamanya tenis, kepada AFP.

“Semua kritikan mengenai sama ada beliau telah divaksin atau tidak bukan masalahnya.”

Ramai rakyat Serbia lain kecewa dengan keputusan berkenaan.

“Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan tetapi masih memalukan,” kata Jadranka Misic, seorang ahli sosiologi berusia 29 tahun dari Belgrade.

Bagi peminat tenis Milovan Jankovic, Australia dan penganjur kejohanan itu sendiri telah memperoleh sedikit lebih daripada kemenangan Pyrrhic.

“Ia tidak masuk akal untuk mengadakan kejohanan tanpa juara bertahan dan pemenang sembilan kali.

“Jika saya jadi Djokovic saya tidak akan menjejakkan kaki ke Australia lagi,” tambah jurujual berusia 57 tahun itu.

Djokovic yang “amat kecewa” berkata dia akan menghormati keputusan sebulat suara itu. – AFP, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen