Terbuka Australia: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Djokovic


Novak Djokovic melahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Australia untuk menghantarnya pulang akan tetapi beliau akur dan akan meninggalkan negara itu. – Gambar EPA, 16 Januari, 2022.

NOVAK Djokovic gagal dalam usahanya untuk mengelak daripada dihalau keluar dari Australia hari ini, selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuannya untuk tinggal di negara itu dan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara menolak cubaan terakhir bintang tenis Serbia itu yang tidak divaksin untuk membatalkan perintah pembatalan visanya.

“Perintah mahkamah ialah permohonan yang dipinda itu ditolak dengan kos,” kata Ketua Hakim Negara James Allsop.

Dalam pada itu, pemain tenis nombor satu dunia berkenaan turut melahirkan kekecewaan dengan keputusan kerajaan Australia untuk menghantarnya pulang akan tetapi beliau akur dan akan meninggalkan negara tersebut.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan berhubung kepulangan saya dari negara ini,” kata pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu dalam satu kenyataan menjelang Terbuka Australia.

Perbicaraan yang memakan masa 11 hari berhubung kegagalan bintang tenis tersebut menunjukkan status divaksin lengkap mendapat perhatian global. Visanya dibatalkan di lapangan terbang Melbourne namun dikembalikan atas isu prosedur tetapi dibatalkan semula oleh kerajaan Australia.

Beliau menghabiskan beberapa malam pertamanya di pusat tahanan Melbourne, bebas bergerak untuk berlatih di gelanggang Terbuka Australia selama beberapa hari selepas mendapatkan semula visanya, dan kemudian dikembalikan ke dalam tahanan.

“Saya kini akan mengambil sedikit masa untuk berehat dan memulihkan diri, sebelum membuat sebarang komen lanjut selepas ini,” kata Djokovic.

Juara bertahan Terbuka Australia itu terbang ke Melbourne pada 5 Januari dengan harapan untuk memenangi gelaran buat kali ke-10, dalam usaha menjadi pemain tenis lelaki pertama dalam sejarah merangkul 21 gelaran Grand Slam.

“Saya tidak selesa kerana tumpuan beberapa minggu lalu tertumpu kepada saya dan saya harap selepas ini boleh fokus pada permainan dan kejohanan yang saya sukai,” kata Djokovic, yang dijadualkan bermain petang Isnin sebagai pilihan pertama.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain, pegawai kejohanan, kakitangan, sukarelawan dan peminat untuk kejohanan ini,” katanya.

“Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan, pasukan, penyokong, peminat dan rakan Serbia saya atas sokongan berterusan anda. Anda semua telah menjadi sumber kekuatan yang hebat kepada saya.” – AFP, 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen