SEORANG bekas senator Haiti, yang juga suspek kes bunuh presiden negara itu, ditahan pihak berkuasa Jamaica pada Sabtu.
Jean Joel Joseph diburu berhubung pembunuhan presiden Jovenel Moise pada 7 Julai tahun lepas.
Beliau ditangkap pada petang Jumaat, kata Pasukan Constabulary Jamaica (JCF) dalam satu kenyataan.
“JCF mengesahkan bahawa seorang warga Haiti Jean Joel Joseph dan tiga lagi ahli keluarganya telah ditangkap di Jamaica atas tuduhan berkaitan imigresen,” kata kenyatana itu.
Tambahnya, pihak berkuasa Haiti ketika dihubungi penyiasat Jamaica berkata Joseph dikehendaki sebagai suspek dalam dakwaan pembunuhan Moise tahun lepas.
Joseph ditangkap di sebuah rumah di St Elizabeth, di barat daya Jamaica.
Sumber polis Jamaica memberitahu AFP pasukan keselamatan itu bertindak dengan kerjasama penguatkuasa undang-undang antarabangsa dan siasatan bersama sedang dijalankan.
Moise, presiden yang tidak popular di Haiti, mati ditembak manakala isterinya isterinya cedera parah diserang kira-kira 20 lelaki yang menceroboh masuk ke kediamannya pada Julai tahun lalu.
Meskipun puluhan suspek telah ditahan sebelum ini , masih banyak perkara berkait pembunuhan itu masih kabur, terutama siapakah dalangnya.
Waran tangkap terhadap Joseph dikeluarkan sejurus selepas pembunuhan tersebut, dengan pihak berkuasa menyifatkan beliau sebagai suspek berbahaya.
Joseph adalah seorang senator pembangkang dan pengkritik keras presiden. – AFP, 16 Januari, 2022.
Komen