Kontroversi di puncak kerjaya Azam Baki


Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Azam Baki mula menyertai SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah sejak 1984.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

SELEPAS 36 tahun tahun berkhidmat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  Azam Baki dipanggil Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi siasatan berhubung isu pemilikan saham, malah wujud gesaan agar beliau ditangkap.

Pengakuan ketua pesuruhjaya SPRM itu bahawa transaksi saham pada 2015 dan 2016 dibuat oleh adik beliau menggunakan akaun dagangannya membawa kepada siasatan kemungkinan berlaku perlanggaran Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Isu pemilikan saham di dua syarikat senaraian awam itu juga mencetus persoalan sama ada Azam mengisytiharkannya atau tidak, selain dikhuatiri wujud konflik kepentingan memandangkan transaksi dibuat semasa beliau menjadi pengarah bahagian siasatan SPRM. 

Pada masa yang sama, sekumpulan aktivis dipercayai akan mengadakan satu himpunan pada 22 Januari ini bagi mendesak Azam ditangkap dan SPRM dirombak, dengan poster mengenainya tular di Twitter.

Tidak ketinggalan juga sayap Pemuda masing-masing dari PKR, DAP dan PAS serta badan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar beliau bercuti sementara disiasat pihak berkuasa. Malah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut digesa supaya mengambil tindakan terhadap ketua agensi antirasuah itu.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada 1963, Azam mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum memperoleh Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya (UM) dan seterusnya Sarjana daripada Asia E-University.

Beliau mula menyertai SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak 1984, menggalas tugas antaranya sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan dan pegawai pendakwaan.

Beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes rasuah berprofil tinggi, antaranya membongkar kes ‘lesen terbang’ pada 2000. Azam dan pasukannya berjaya menahan lebih 100 individu, manakala 100,000 ‘lesen terbang’ telah disenarai hitam.

Sepanjang perkhidmatannya juga Azam pernah memegang jawatan penting dalam SPRM, antaranya sebagai pengarah bahagian perisikan, sebelum dilantik sebagai pengarah bahagian siasatan pada 2015.

Beliau kemudian dilantik ke jawatan timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) pada 2016. 

Pada 9 Mac 2020, Azam menggantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, yang meletak jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang susulan percaturan politik.

Selain itu, beliau turut aktif di peringkat antarabangsa antaranya melalui Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), Economic Crime Agencies Network (ECAN) dan United Nations Convention against Corruption (UNCAC). 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes rasuah berprofil tinggi, antaranya membongkar kes ‘lesen terbang’ pada 2000.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

Kontroversi

Pada sidang media pada 5 Januari lalu, Azam mengakui saham-saham dalam dua syarikat senaraian awam dibeli oleh adik beliau Nasir Baki di pasaran terbuka menggunakan namanya.

Menurut Azam saham dibeli dengan pembiayaan sendiri pada 2015 dan 2016 dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham terbabit.

Isu pemilikan saham ini didedahkan bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam yang kini wartawan bebas dalam dua artikel yang disiarkan portal berita Independent News Service (INS).

Artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) pertama kali diterbitkan pada 26 Oktober tahun lepas, sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Disember.

Rabu lalu, Azam memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berdasarkan pendedahan Lalitha ini jugalah ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez menulis tiga surat berasingan masing-masing kepada pengerusi panel itu Borhan Dollah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang dalam tempoh sebulan sejak pertengahan November supaya membincangkan isu tersebut.

Gomez kemudian meletak jawatan pada 27 Disember lalu sebagai membantah sikap tidak peduli Borhan dan Abu Zahar mengenai dakwaan membabitkan Azam.

Azam mendapat perhatian meluas selepas beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Berhad pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Berhad pada tahun sama dan 1.02 juta lagi saham dalam Gets Global pada 2016, selain kemungkinan beliau tidak mengisytiharkannya.

Isu pemilikan saham Azam dibangkitkan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu, yang mempersoalkan sumber dana dan pengisytiharan aset kepada pihak atasan.

Pada 5 Januari lalu, LPPR pada satu sidang media berkata perkara itu telah dijelaskan oleh Azam dalam menyuarat pada 24 November lepas. Pengerusinya Abu Zahar berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam dan menyatakan ketua SPRM itu bebas daripada sebarang salah laku.

Gomez bagaimanapun kemudian berkata beliau tidak pernah pula dimaklumkan mengenai mesyuarat tersebut atau dipanggil untuk menyertainya.

Tindakan Abu Zahar membersihkan nama Azam hanya berdasarkan penjelasan dari mulut empunya badan diselar banyak pihak, bahawa dakwaan konflik kepentingan saham membabitkan Azam perlu disiasat oleh badan bebas.

Malah, tiga hari selepas sidang media LPPR itu enam ahlinya mengeluarkan kenyataan, menjarakkan diri daripada kenyataan Abu Zahar berkenaan Azam dan mendakwa ia hanya pandangan peribadi beliau.

Azam dipanggil untuk hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Rabu depan (19 Januari) bagi menjelaskan kontroversi yang dihadapinya.

Beliau terus menegaskan tidak akan akur dengan desakan mana-mana pihak untuk melepaskan jawatan, sebaliknya hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatannya. – 16 Januari, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen