Pakatan sokong Rais Yatim desak Azam Baki bercuti


Alfian Z.M. Tahir

Majlis Setiausaha PH berkata, kenyataan Rais Yatim menyokong gesaan kuat pelbagai pihak termasuk ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), kumpulan masyarakat sivil dan hampir semua parti politik untuk siasatan penuh dan bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) memberikan sokongan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Rais Yatim yang menggesa Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki supaya bercuti sementara siasatan dijalankan.

Majlis Setiausaha PH berkata, kenyataan Rais menyokong gesaan kuat pelbagai pihak termasuk ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), kumpulan masyarakat sivil dan hampir semua parti politik untuk siasatan penuh dan bebas.

“Kami mengalu-alukan kenyataan Rais Yatim, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Yang Dipertua Dewan Negara semalam di mana beliau berkata Azam perlu digantung sementara siasatan penuh dan bebas dijalankan terhadap isu pembelian saham.

“Kenyataan itu juga mematahkan hujah Azam untuk ‘membersihkan’ namanya dengan cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong ke dalam isu itu dengan mendakwa perkhidmatan beliau hanya boleh ditamatkan oleh Raja,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Saifuddin Nasution Ismail ( PKR), Dr Hatta Ramli (Amanah), Anthony Loke (DAP) dan Nelson Anggang (UPKO).

Rais semalam berkata, mengikut amalan biasa, mereka yang disiasat kerana salah laku akan digantung tugas, tetapi menambah terdapat juga kes di mana individu yang lebih tinggi tidak diminta bercuti ketika kes mereka disiasat.

Azam kini terlibat dalam kontroversi melibatkan pembelian saham korporat antara 2015 dan 2016 semasa beliau menjadi pengarah siasatan SPRM.

Rais berkata jawatankuasa itu juga berpendapat pengisytiharan aset Azam harus menjadi isu asas dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Majlis itu berkata Azam tidak sepatutnya mengheret Raja ke dalam malapetaka itu sebelum menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap Azam.

“Azam sepatutnya tahu bahawa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan.

“Majlis Setiausaha berpendapat Azam kini tiada pilihan selain bercuti sehingga semua siasatan terhadapnya selesai.

“Jika beliau enggan, kami menggesa perdana menteri mendengar semua pihak berhubung isu ini termasuk pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas untuk menggantung Azam,” tambah majlis itu. – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen